Tentera Myanmar bebaskan sami anti Islam


Ashin Wirathu yang ditahan kerajaan sebelum ini kerana mencetuskan kebencian agama, dibebaskan tentera Myanmar semalam. – Gambar fail EPA, 7 September, 2021.

JUNTA Myanmar membebaskan seorang sami Buddha anti Muslim yang sebelum ini dipenjarakan oleh kerajaan Aung San Suu Kyi atas tuduhan hasutan.

Ashin Wirathu – pernah menerima jolokan “Buddhist Bin Laden” oleh majalah Time berikutan peranannya dalam mencetuskan kebencian agama di Myanmar – dibebaskan selepas semua tuduhan terhadapnya digugurkan.

Beliau sedang menerima rawatan di hospital tentera, menurut satu kenyataan, tetapi tiada maklumat terperinci diberi berkenaan mengapa beliau dimasukkan di hospital.

Sami berusia 53 tahun itu sejak sekian lama terkenal dengan retorik anti Islam – khususnya terhadap masyakarat Islam Rohingya.

Pada 2017, pihak berkuasa Buddha Myanmar melarangnya daripada menyampaikan ceramah selama setahun kerana perangainya itu.

Namun, selepas tamat tempoh larangan itu, pendakwah pro tentera itu sekali lagi sering tampil hadir pada himpunan nasionalis, di mana beliau menuduh kerajaan rasuah dan gagal melaksanakan perlembagaan yang diwujudkan oleh junta.

Beliau sebelum ini berdepan pertuduhan mewujudkan kebencian dan mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan demokrasi pada masa itu pimpinan Suu Kyi.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa Februari lalu dan kekerasan dilakukan tentera terhadap rakyat yang membantah menyebabkan lebih 1,000 terkorban.

Majlis Pentadbiran Negara – nama diberikan junta – membatalkan keputusan pilihan raya November, di mana parti Suu Kyi, National League for Democracy menang besar.

Ketua rampasan kuasa Min Aung Hlaing menjustifikasikan rampasan kuasanya dengan mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dalam pilihan raya itu.

Ditahan sejak rampasan kuasa berlaku, Suu Kyi dihadapkan beberapa pertuduhan termasuk berkaitan sekatan koronavirus dan mengimport walkie talkie secara haram, di mana beliau boleh dipenjarakan lebih sedekad jika sabit kesalahan. – AFP, 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen