Pele selamat jalani pembedahan barah usus


Legenda bola sepak Brazil Pele, 80, selamat menjalani pembedahan barah usus dan kini sedang berehat di Hospital Albert Einstein di Sao Paolo. – Gambar fail EPA, 7 September, 2021.

LEGENDA bola sepak Brazil Pele, 80, selamat menjalani pembedahan barah usus dan kini sedang berehat di Hospital Albert Einstein di Sao Paolo.

Dalam satu kenyataan, hospital berkata berkata berkenaan ditemui ketika Pele menjalani pemeriksaan kesihatan rutin dan dihantar untuk diuji, pada 31 Ogos lalu.

Pele dalam catatan di Instagram semalam berkata: “Saya bersyukur kepada Tuhan kerana bertambah baik”.

Pele dijadualkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU) hari ini, menurut kenyataan dikeluarkan hospital.

Pele yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sering dimasukkan ke hospital, terkini pada April 2019 di Paris kerana jangkitan saluran kencing yang serius.

Beliau satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang tiga kali memenangi Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970), Pele dianggap pemain terhebat sepanjang masa.

Beliau menyertai arena global pada usia 17 tahun, dengan menjaringkan gol menarik termasuk dua gol dalam pusingan akhir menentang tuan rumah, Sweden, di mana Brazil menang Piala Dunia buat pertama kali pada 1958.

Empat tahun kemudian, Pele mempamerkan aksi hebat dengan menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-0 menentang Mexico dalam perlawanan pembukaan Brazil.

Bagaimanapun, kecederaan ketika perlawanan menentang Republik Czech memaksanya berehat, namun pasukannya berjaya mempertahankan takhta Piala Dunia.

Diberi gelatan O Rei atau Raja, Pele menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 4-1 menentang Itali di Mexico pada 1970.

Selepas bersara daripada pertandingan bola sepak antarabangsa, beliau bermain untuk kelab New York Cosmos, sebelum berundur dengan lebih 1,000 jaringan gol. – AFP, 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen