PRESIDEN India, Ram Nath Kovind pada Ahad memecat 20 pembuat dasar daripada Parti Aam Aadmi, selepas didapati memegang jawatan kerajaan di luar tugas sepatutnya, lapor agensi berita Xinhua.
Tindakan presiden itu, dua hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mencadangkan pembuat dasar daripada Dewan Undangan Negeri dipecat kerana memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen.
Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak memberikan sebarang ancaman segera kepada Parti Aam Aadmi yang memerintah ibu negara New Delhi kerana mempunyai 66 daripada 70 kerusi.
Namun, pilihan raya kecil perlu diadakan untuk kerusi yang kosong dalam tempoh enam bulan dari tarikh kekosongan.
Parti Aam Aadmi membantah keputusan penyingkiran tersebut, sebaliknya Parti Bharatiya Janata dan parti Kongres utama mengalu-alukan langkah itu.
Setiausaha Parlimen biasanya dilantik oleh kerajaan untuk membantu menteri, dan menerima beberapa faedah selain kuasa politik.
Kebiasaannya setiausaha Parlimen dilantik dalam kalangan mereka yang gagal menjadi menteri. – Bernama, 22 Januari, 2018.
Komen