DUA wakil rakyat DAP mencadangkan beberapa cara untuk membolehkan calon Sijil Amalan Guaman (CLP) dapat menduduki peperiksaan walaupun negara sedang teruk dilanda pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata banyak lagi perkara perlu dibincangkan bagi memastikan kebajikan calon CLP kumpulan 2021 tidak terus terjejas.
Mereka berkata pandemik Covid-19 menjejaskan kira-kira 1,500 hingga 2,000 calon CLP untuk bergerak ke peringkat seterusnya dalam kerjaya mereka kerana tidak dapat menghadiri peperiksaan secara fizikal.
Ong dan Teo berkata setakat ini tidak ada tarikh khusus untuk peperiksaan CLP diadakan, dan menggesa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) untuk memberikan proses prosedur operasi standard (SOP) sendiri, bukannya menunggu Majlis Keselamatan Negara membuat keputusan berkenaan SOP itu.
Mereka berkata Majlis Peguam Malaysia dan institusi pengajian tinggi swasta patut memainkan peranan lebih aktif dalam memperjuangkan nasib pelajar CLP dan program CLP secara amnya.
“Memandangkan semakin ramai dewasa di Malaysia yang sudah menerima vaksin penuh, peperiksaan secara fizikal sepatutnya diadakan mengikut SOP ketat.
“LPQB perlu wujudkan SOP dan tidak menunggu MKN buat untuk mereka. Jika lebih 400,000 pelajar boleh menduduki peperiksaan SPM tahun ini, tentulah tidak begitu mencabar untuk aturkan peperiksaan fizikal untuk 2,000 calon.
“Tidak ada sebab kepada Majlis Peguam tidak boleh ambil peranan lebih proaktif dalam memperjuangkan hak calon CLP,” kata mereka.
CLP atau Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) adalah prasyarat untuk calon sebelum dapat berkhidmat sebagai peguam di mahkamah tinggi Malaya dan/atau Sabah dan Sarawak.
Ong dan Teo berkata melihat kepada situasli semasa yang menghalang peperiksaan secara fizikal diadakan, semua pihak berkepentingan sepatutnya membincangkan kemungkinan mengadakan peperiksaan CLP secara hibrid atau atas talian. – 6 September, 2021.
Komen