Tentera rampas kuasa di Guinea


Anggota tentera dikerah berkawal di Guinea susulan rampasan kuasa dan perintah berkurung dikuatkuasakan di negara itu semalam. – Gambar EPA, 6 September, 2021.

PASUKAN tentera khas Guinea melakukan rampasan kuasa semalam, menahan presiden dan mengenakan perintah berkurung di negara barat Afrika itu.

“Kami memutuskan, selepas menahan presiden, untuk membubarkan perlembagaan,” kata pegawai tentera yang memakai uniform lengkap dalam satu video dihantar kepada AFP.

Pegawai berkenaan berkata sempadan darat dan udara Guinea ditutup dan kerajaan dibubarkan.

Dalam satu video dihantar sebelum itu menunjukkan Presiden Alpha Conde sedang duduk di sofa dikelilingi pegawai tentera. Pemimpin berusia 83 tahun itu enggan menjawab soalan daripada salah seorang pegawai berkenaan sama ada beliau menerima layanan tidak wajar.

Lewat semalam, tentera junta mengumumkan perintah berkurung dengan tempohnya hingga diberitahu kelak, berkata ia akan mengadakan sidang Kabinet pada 11 pagi ini.

“Keengganan menteri untuk hadir akan dianggap sebagai pemberontakan,” kata kenyataan itu.

Gabenor dan pemimpin tertinggi lain akan digantikan dengan tentera, kata kenyataan itu.

Ketika tampil di televisyen negara, anggota junta memakai topi beret dan tidak membawa senjata.

Guinea antara negara paling miskin di dunia dengan populasi 13 juta orang sudah sekian lama berdepan masalah ketidakstabilan politik

Ketua tentera pasukan khas Guinea, Leftenan Kolonel Mamady Doumbouya muncul di televisyen dengan berselempang bendera negara itu, berkata rampasan kuasa itu terpaksa dibuat berikutan kerajaan melakukan salah laku tadbir urus. – AFP, 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen