SEORANG peguam terkemuka di South Carolina ditembak di kepala semalam, beberapa bulan selepas isteri dan anak lelakinya terbunuh secara misteri, kata pihak berkuasa.
Mangsa, Alex Murdaugh sedang menukar tayar kereta di tepi jalan apabila seorang pemandu trak menembak ke arahnya, kata peguamnya Jim Griffin kepada The New York Times.
Murdaugh, 53, terselamat daripada serangan itu dan dibawa ke hospital, di mana beliau dalam menceritakan serangan itu kepada abangnya, kata media.
Pejabat serif di Hampton County mengesahkan insiden itu dan berkata ia sedang disiasat.
Tiga bulan lalu, Murdaugh ketika pulang ke rumah mendapati isterinya, Maggie dan anak lelaki mereka, Paul, 22, seorang pelajar kolej mati ditembak di kediaman mereka di Islandton.
Tiada tahanan dibuat dalam kes itu dan pendakwa berkata mereka masih tidak mempunyai suspek.
Tetapi sejarah panjang keluarga Murdaugh dalam penguatkuasaan undang-undang mencetuskan ketegangan dan spekulasi sejak insiden bunuh itu.
Bapa, datuk dan moyang Alex Murdaugh semuanya berkhidmat sebagai pendakwa raya kanan di wilayah itu.
Antara spekulasi berkenaan pembunuhan itu ialah Paul, ketika insiden berkenaan sedang menunggu untuk dibicarakan bagi pertuduhan kes membabitkan nahas bot yang menyebabkan seorang wanita 19 tahun meninggal dunia.
Laporan bercanggah sama ada Paul yang memandu bot pada masa itu atau tidak.
Susulan serangan di tepi jalan terhadap Alex, keluarganya mengeluarkan kenyataan, menurut laporan akhbar Island Packet.
“Keluarga Murdaugh mengalami kesedihan dan kesengsaraan yang tidak terbayangkan. Kami mengharapkan Alex akan pulih dan kami mohon diberikan privasi sementara beliau menerima rawatan.” – AFP, 6 September, 2021.
Komen