UAE perkenal 'visa hijau'


Covid-19 mempengaruhi pelancongan dan perniagaan di UAE dengan ekonomi merosot dalam beberapa tahun terakhir kerana harga minyak rendah. – Gambar EPA, 5 September, 2021.

UAE mengumumkan visa baharu pada Ahad yang membolehkan warga asing bekerja di negara itu tanpa ditaja majikan, melonggarkan syarat residensi dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Warga asing di Emiriah Arab Bersatu yang kaya dengan hasil minyak biasanya diberi visa terhad yang berkaitan dengan pekerjaan mereka dan taraf residensi jangka panjang sukar untuk diperoleh.

Namun mereka yang memegang ‘visa hijau’ baharu boleh bekerja tanpa penajaan syarikat dan boleh membawa bersama ibu bapa dan anak mereka berusia 25 tahun ke bawah, kata pegawai.

“Ia menyasarkan individu mahir, pelabur, ahli perniagaan, usahawan, juga pelajar serta siswazah luar biasa,” kata Menteri Negara Perdagangan Luar Negeri Thani al-Zeyoudi.

Negara Teluk yang kaya sumber asli seperti UAE semakin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi mereka dan mengurangkan pergantungan kepada minyak.

Pandemik koronavirus juga mempengaruhi pelancongan dan perniagaan di UAE, yang menyaksikan ekonominya merosot dalam beberapa tahun terakhir kerana harga minyak rendah.

Pada 2019, UAE melancarkan “visa emas” 10 tahun untuk menarik individu kaya dan pekerja berkemahiran tinggi, skim pertama seumpamanya di negara Teluk.

Program serupa turut dilancarkan di negara Teluk lain yang kaya dengan sumber asli seperti Arab Saudi dan Qatar. – AFP, 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen