Teliti dulu kepulangan mahasiswa ke IPT, jangan terburu-buru


KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) telah merancang membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara bermula Oktober ini melalui Pelan Pemulih IPT.

Dasar dan keputusan ini perlu diteliti sebaik-baiknya oleh pihak kementerian kerana ia tidak hanya fokus soal risiko jangkitan yang dihadapi, malah beban kewangan ibu bapa dan penjaga yang sudah pasti terkesan ekoran aktiviti ekonomi yang masih perlahan.

Kita juga perlu menyedari bahawa tidak semua mahasiswa dan mahasiswi tinggal di dalam kampus, malah di sebahagian kampus kebanyakan pelajar tinggal di luar dengan menyewa rumah. 

Keputusan terburu-buru bakal mengundang masalah lebih besar yang akhirnya pelajar sekali lagi perlu menanggung kos yang merugikan.

Walaupun kita mengakui bahawa pembelajaran atas talian tidak efektif dan membebankan pelajar kerana keperluan alatan elektronik yang terhad serta data internet yang terbatas, namun ia tetap menjadi keperluan hakiki biarpun kelas dijalankan secara fizikal. Hakikatnya, keputusan ini tidak menyelesaikan sebarang masalah.

Perancangan bagi membuka semula IPT perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya satu semester lebih awal sebelum ia dilaksanakan supaya persediaan dapat dilakukan oleh mahasiswa dan ibu bapa, terutamanya dalam keadaan kegiatan ekonomi yang sangat perlahan ketika ini.

KPT seharusnya memberi sepenuh perhatian tentang bagaimana mahu mengemas kini sistem pembelajaran atas talian yang sedia ada bagi tempoh 6 bulan hingga setahun akan datang supaya ianya dapat meringankan beban pelajar.

Langkah ini sekaligus akan mengurangkan tekanan mental yang dialami sebahagian besar pelajar. – 5 September, 2021. 

* Firzan Hakimi, naib presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen