Pelantikan Muhyiddin: Kegagalan yang diteruskan


PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mencetus pelbagai persoalan dengan seolah-olah mengulangi pendekatan “scheme of things” yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya.

Semalam negara dikejutkan dengan berita bahawa Muhyiddin Yasin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Malahan tiga duta khas bertaraf menteri yang dilantik Muhyiddin sebelum ini juga turut dilantik semula.

Sehingga ke tarikh peletakan jawatannya sebagai perdana menteri, Muhyiddin telah terbukti gagal dalam mengawal wabak sehingga kes harian meningkat berkali ganda daripada jumlah kes ketika beliau mengangkat sumpah.

Jumlah kes pada 29 Feb 2020 hanyalah sebanyak 25 kes, manakala kes kumulatif sepanjang pentadbiran beliau mencecah 250 ribu kes dengan 12 ribu kematian. 

Rakyat rata-rata telah menzahirkan kemarahan mereka sehingga melabel pentadbiran Muhyiddin sebagai #KerajaanGagal ekoran belasan ribu keluarga kehilangan orang tersayang dan ratusan ribu sengsara sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih.

Atas prestasi yang buruk ini, tentu ramai yang tertanya-tanya apa pertimbangan yang dibuat untuk melantik Muhyiddin? Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang sama dengan mengharapkan hasil yang berbeza.

Persoalan penting yang perlu dinyatakan ialah mengapa perlu pelantikan bertaraf menteri? 

Pengerusi MPN ini sepatutnya bekerja secara khidmat negara atau “national service” dan disertai oleh kumpulan teknokrat serta professional seperti yang disarankan Dr Mahathir Mohamad.

Sejujurnya, pelantikan ini sangat mengecewakan. 

Jelas kelihatan ia adalah tindakan strategi politik semata-mata bagi mengukuhkan kedudukan menjelang sidang parlimen akan datang dan semestinya bukan demi kemaslahatan rakyat.

Pemimpin yang terbukti gagal tidak seharusnya diangkat bagi memimpin rakyat. – 5 September, 2021.

* Ulya Husamudin adalah ketua penerangan Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen