Iran gesa AS hentikan sekatan


Tehran menuntut semua sekatan yang dikenakan atau dilaksanakan oleh AS sejak 2017 ditarik balik. – Gambar AFP, 5 September, 2021.

IRAN pada Sabtu mendesak Amerika Syarikat (AS) menghentikan sekatan terhadap republik Islam itu dan mendakwa Presiden Joe Biden mengikut dasar “jalan mati” yang sama dengan Donald Trump.

Jurucakap kementerian luar Saeed Khatibzadeh membuat kenyataannya sehari selepas Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan kewangan terhadap empat warga Iran yang dituduh merancang penculikan di AS, melibatkan seorang wartawan Amerika berketurunan Iran.

“Washington perlu faham ia tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan ketagihannya terhadap sekatan dan menunjukkan rasa hormat, sama ada dalam kenyataan dan perlakuannya terhadap Iran,” kata Khatibzadeh dalam kenyataan media.

Ketika di bawah pentadbiran presiden Trump, Washington secara sepihak menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan enam kuasa besar.

Perjanjian pelbagai hala itu menawarkan Iran pelepasan daripada sekatan sebagai balasan mengekang program nuklearnya.

Bagaimanapun, ia terhalang dengan keputusan Trump yang menyaksikan AS tarik diri daripada perjanjian itu pada 2018.

Presiden Ebrahim Raisi, dalam wawancara TV pertamanya sejak memegang jawatan bulan lalu, berkata pada Sabtu usaha untuk menghidupkan semula perjanjian itu termasuk dalam agenda kerajaan, tetapi tidak di bawah tekanan Barat.

“Beberapa kali Amerika dan Eropah cuba memberi tekanan untuk terlibat dalam dialog, tetapi sia-sia,” kata Raisi dalam wawancara yang disiarkan di televisyen.

Biden berkata beliau ingin Washington kembali ke dalam perjanjian itu, tetapi perbincangan di Vienna yang bermula pada April terhenti sejak Raisi menang pemilihan presiden Iran pada Jun.

Pada akhir Ogos, pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei menuduh pentadbiran Biden membuat tuntutan yang sama dengan pendahulunya dalam perbincangan untuk menghidupkan kembali perjanjian tersebut.

Pada Selasa, Menteri Luar Negeri Iran baru Hossein Amir-Abdollahian mencadangkan agar perbincangan di Vienna tidak akan disambung selama dua atau tiga bulan.

Raisi berkata pada Sabtu bahawa rundingan menjadi agenda dan bukan sekadar rundingan semata-mata.

“Dalam rundingan ini, kami berusaha untuk menarik balik sekatan yang menindas,” tambahnya. 

“Kami tidak akan menyerah demi kepentingan negara Iran yang hebat.”

Tehran menuntut semua sekatan yang dikenakan atau dilaksanakan oleh AS sejak 2017 ditarik balik.

Pada Jumaat, Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan terhadap “empat operasi perisik Iran” yang dikatakan terlibat dalam kempen menentang pembangkang Iran di luar negara.

Menurut dakwaan persekutuan AS pada pertengahan Julai, pegawai perisik itu pada 2018 cuba memperdayakan wartawan Masih Alinejad pergi ke negara ketiga untuk ditangkap dan dibawa ke Iran untuk dipenjarakan.

Apabila ia gagal, mereka didakwa mengupah penyiasat peribadi AS untuk mengawasinya sepanjang dua tahun terakhir.

Khatibzadeh pada Julai menyifatkan tuduhan Amerika itu “tidak berasas dan tidak masuk akal”, menyamakan ia sebagai “senario Hollywood”. – AFP, 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen