Kes Ehsanuddin tarik balik sebab saksi tidak konsisten, kata SPRM


Keterangan baharu saksi dan siasatan lanjut SPRM mendapati kes itu tidak dapat dipertahankan, kata agensi antirasuah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

PERTUDUHAN terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid ditarik balik kerana saksi utama tidak konsisten, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keterangan baharu saksi dan siasatan lanjut SPRM mendapati kes itu tidak dapat dipertahankan, kata agensi antirasuah.

“SPRM telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut. 

“Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

SPRM juga mengesahkan kes terhadap Noor Ehsanuddin ditarik balik dan dimaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021.

Awal minggu ini, peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin memberitahu media semua 29 pertuduhan terhadap anak guamnya telah ditarik balik pada tarikh berkenaan.

Menurut SPRM, berdasarkan keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan. 

“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata SPRM.

Perbicaraan kes sudah bermula sejak Ogos 2019 dan 24 saksi pendakwaan telah memberi keterangan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia. 

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Beliau juga didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Noor Ehsanuddin turut didakwa atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Semua pertuduhan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen