SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan ketua Misi Bantuan PBB di Afghanistan (Unama) Tadamichi Yamamoto mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas ke atas sebuah hotel di Kabul, lapor agensi berita China Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Guterres menzahirkan setinggi-tinggi ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera segera sembuh.
“Beliau turut menzahirkan solidaritinya bersama kerajaan dan rakyat Afghanistan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Guterres.
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, termasuk 14 warga asing, dalam serangan maut ke atas Hotel Intercontinental di Kabul.
Kesemua lima penyerang turut terbunuh semasa bertempur dengan pasukan keselamatan Afghanistan.
Pengepungan yang mengambil masa 12 jam berakhir pada Ahad.
Menurut Unama, Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu dan berkata lima penyerang terbabit memasuki hotel tersebut untuk menyasarkan para pegawai Afghanistan serta warga asing.
Dalam kenyataan berasingan, Yamamoto, yang merupakan wakil khas setiausaha agung PBB di Afghanistan, menyebut “tindakan Taliban memasuki hotel itu dengan niat untuk membunuh orang awam mencetuskan satu keberangan moral.”
“Tidak ada justifikasi untuk serangan besar-besaran ini, yang secara khusus dilarang oleh Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan mungkin terjumlah sebagai satu jenayah perang,” katanya. – Bernama, 22 Januari, 2018.
Komen