PRESIDEN Israel, Isaac Herzog mengadakan pertemuan secara rahsia dengan Raja Abdullah II dari Jordan di Amman, katanya semalam.
“Minggu lalu saya bertemu dan berbual panjang dengan Raja Jordan, saya berada di istananya, sepanjang malam. Ia pertemuan luar biasa,” kata Herzog dalam sedutan video wawancara disiarkan di televisyen Israel, semalam.
Keseluruhan wawancara akan disiarkan hari ini, menjelang tahun baharu Yahudi yang bermula petang esok.
“Jordan adalah negara yang sangat penting. Saya sangat menghormati Raja Abdullah, pemimpin hebat dan tokoh wilayah yang sangat penting,” kata Herzog dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Kenyataan itu menyatakan pertemuan mesra diadakan atas undangan Raja dengan kedua-duanya membincangkan “isu-isu strategik mendalam”.
“Antara perkara yang kami bincangkan adalah isu utama dalam dialog antara negara kami, termasuk perjanjian untuk mengimport hasil pertanian semasa setahun shemitah (sabatikal pertanian), isu tenaga, keberlanjutan, dan penyelesaian krisis iklim yang dapat kita majukan bersama,” kata kenyataan itu.
Jordan dan Mesir adalah satu-satunya dua negara bersempadan dengan Israel yang menandatangani perjanjian damai dengan Yahudi.
Hubungan Israel-Jordan merosot di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Benjamin Netanyahu, yang dikritik oleh pengkritik mengabaikan kerajaan Hashemite kerana bersetuju untuk menormalisasikan hubungan tahun lalu dengan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi.
Namun, tidak lama setelah memegang jawatan pada Jun, perdana menteri baharu Naftali Bennett terbang ke Amman untuk berbincang dengan Raja Abdullah.
Pada Julai, kedua-dua negara bersetuju Israel akan menjual 50 juta meter padu air setahun kepada Jordan, di samping 55 juta meter padu yang sudah disediakannya secara percuma.
Berdasarkan perjanjian ini, Jordan dibenarkan meningkatkan eksportnya ke Palestin di Tebing Barat, yang dijajah Israel sejak 1967. – AFP, 5 September, 2021.
Komen