SRI Lanka bersedia bekerjasama dengan siasatan New Zealand susulan insiden serangan di bandar Dunedi, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Polis menembak mati seorang lelaki warga Sri Lanka yang berusia 32 tahun selepas beliau menyerang tujuh individu di sebuah pasar raya Auckland pada Jumaat. Lelaki itu menetap di New Zealand sejak 2011.
“Sri Lanka mengecam keganasan tidak masuk akal ini, dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa New Zealand sekiranya diperlukan,” kata jurucakap kementerian luar Kohularangan Ratnasingam dalam respons pertama kerajaan Sri Lanka mengenai kejadian itu.
Ratnasingam memuji tindak balas pantas pihak berkuasa New Zealand dalam menangani penyerang.
Sumber polis Sri Lanka berkata penyiasat jenayah menemubual saudara lelaki penyerang, yang tinggal di Colombo, dan sedang menyiasat segala kemungkinan berkaitan.
“Kami mengumpulkan maklumat mengenai beliau dan juga orang lain yang mungkin pernah berhubungan dengannya,” kata seorang pegawai tinggi polis, sambil menambah tiada rekod mengenai penyerang mengunjungi Sri Lanka baru-baru ini.
Negara Asia Selatan masih dihantui serangan bunuh diri di tiga gereja dan tiga hotel pada hari Easter 2019 yang menyebabkan 279 maut.
Beberapa penyerang berasal dari wilayah timur yang sama dengan penyerang Auckland.
Majlis Muslim Sri Lanka mengecam serangan Auckland sebagai “tindakan keganasan kejam,” dan mengucapkan terima kasih kepada polis New Zealand kerana tindak balas yang pantas.
“Ini mengingatkan kita semua untuk bersatu dan bersama memerangi keganasan dan ekstremisme di dalam dan luar negara demi kebaikan semua orang,” kata anggota majlis Mohamed Hisham kepada AFP.
Anggota perundangan Muslim Sri Lanka Mujibur Rahman berkata masyarakatnya berasa sedih dengan serangan itu, sambil memuji Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern kerana meredakan sentimen masyarakat.
“Kenyataan segera beliau setelah kejadian itu meredakan keadaan dan memastikan tiada bahaya kepada komuniti Sri Lanka (di New Zealand),” kata Rahman kepada AFP.
Ardern menegaskan tiada komuniti patut dituduh dengan keganasan tersebut.
“Ia dilakukan oleh individu, bukan kepercayaan, bukan budaya, bukan etnik,” kata Ardern.
“Beliau sendiri yang bertanggung jawab atas tindakan ini.” – AFP, 5 September, 2021.
Komen