PIHAK berkuasa Arab Saudi pada Sabtu berkata mereka memintas dua peluru berpandu balistik yang ditembak dari negara jiran Yaman dan mensasarkan wilayah Timur dan Najaran di selatan.
“Dua serangan peluru berpandu balistik dipintas, bersama tiga dron,” kata Arab Saudi yang mengetuai penentangan pemberontak Huthi di Yaman kepada AFP.
Televisyen Al-Ekhbariya yang dikendalikan oleh kerajaan juga melaporkan insiden itu, berkata pakatan akan mengambil “langkah tegas” untuk melindungi orang awam.
Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa tetapi serangan itu berlaku empat hari selepas sebuah dron menyerang melanda lapangan terbang antarabangsa Abha di selatan, mencederakan lapan individu dan merosakkan sebuah pesawat awam.
Ia juga terjadi beberapa jam sebelum Hans Grundberg, utusan khas baharu PBB ke Yaman secara rasmi menjalankan tugasnya pada Ahad.
Arab Saudi campur tangan dalam perang Yaman bagi pihak kerajaan yang diakui antarabangsa pada 2015, tidak lama setelah Huthi merampas Sanaa.
Pemberontak sekutu Iran itu berulang kali mensasarkan Arab Saudi dalam serangan rentas sempadan.
Pada Ogos, mereka meningkatkan operasi tersebut, menggunakan dron dan peluru berpandu.
Konflik Yaman meragut puluhan ribu nyawa dan jutaan orang hilang tempat tinggal, yang disifatkan PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Ketika PBB mendesak untuk mengakhiri perang, Huthi menuntut pembukaan semula lapangan terbang Sanaa, yang ditutup di bawah sekatan Arab Saudi sejak 2016, sebelum gencatan senjata atau rundingan. – AFP, 5 September, 2021.
Komen