Pemimpin Pemuda dedah sebab utama Dr Mahathir sokong Anwar


Noel Achariam

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin berkata Dr Mahathir tidak kisah siapa jadi PM selagi beliau dibenarkan ketuai MPN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

DR Mahathir Mohamad tidak kisah siapa calon pembangkang bagi jawatan perdana menteri selepas kejatuhan pemerintahan Muhyiddin Yassin dengan syarat beliau dibenarkan mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN), kata seorang pemimpin pembangkang.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin berkata pemimpin Pemuda daripada pembangkang mengadakan mesyuarat dengan ahli Parlimen Langkawi itu sebagai sebahagian daripada inisiatif menyediakan calon tunggal disepakati untuk jawatan perdana menteri.

“Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (pengasas Muda) dan Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin memainkan peranan besar dalam membawa masuk Dr Mahathir.

“Kami mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan beliau tidak kisah siapa jadi perdana menteri - sama ada Anwar Ibrahim (presiden PKR) atau Shafie Apdal (presiden Warisan) - asalkan beliau (Dr Mahathir) dapat mempimpin MPN,” kata Ulya kepada Malaysian Insight.

Negarawan itu berulang kali membangkitkan hal itu sejak Julai sebagai satu jalan untuk menguruskan pandemik Covid-19 dengan lebih baik, tambahnya.

Ulya berkata tujuan utama Pejuang bersama Pakatan Harapan adalah untuk merealisasikan majlis itu.

“Dr Mahathir berasa tiada masalah siapa yang menjadi PM ... sasaran utamanya adalah untuk menguruskan wabak dengan lebih baik.

“Kami tidak terlibat dalam mencari nombor (sokongan daripada ahli Parlimen). Siapa pun calon PM, beliau perlu mendapatkan nombornya. Kami (Pejuang) akan memberikan SD (akuan bersumpah).”

Dr Mahathir, yang merupakan ketua Pejuang berkata mereka sudah menandatangani SD dengan harapan Anwar mendapat sokongan mencukupi.

Ahli Parlimen Langkawii tu sebelum ini meluahkan keraguannya tentang pemimpin pembangkang itu mengambil alih jawatan perdana menteri.

The Malaysian Insight mengetahui parti daripada pakatan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, termasuk Umno telah menyerahkan 114 SD untuk menyokong Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob.

Sumber berkata Pakatan Harapan dan sekutunya mengemukakan 105 SD yang menyokong Anwar.

Pada 21 Ogos, Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri kesembilan, mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Dalam usaha menyediakan calon yang bersatu, Ulya berkata pemimpin Pemuda berperanan dalam hal ini.

“Kami mengadakan beberapa pertemuan untuk memastikan keputusan diambil untuk menyokong Anwar.

“Jika kami tidak menyokongnya (Anwar), maka keputusan apa pun yang kami buat tidak akan membantu sesiapa pun kecuali Umno, yang kalah dalam pilihan raya lalu dan dicemari rasuah.”

Ulya berkata beberapa pertemuan diadakan dengan kepemimpinan tertinggi dan pertemuan peribadi juga diatur dengan Dr Mahathir.

“Kami terpaksa menjadi perantara dengan pemimpin. Jika kita membiarkannya, maka tidak akan ada barisan hadapan yang bersatu. Untuk mengalahkan lawan, kita harus bersatu.

“Jika Pejuang berkecuali, maka pembangkang tidak akan mempunyai nombor, walaupun hanya empat (ahli Parlimen) yang menyokong. Selebihnya terserah kepada Anwar untuk mendapatkan normbornya.”

Katanya, alasan utama mereka perlu menyatukan kepemimpinan adalah kerana tidak mahu satu lagi kerajaan yang gagal.

“Ini adalah dorongan untuk meyakinkan semua pemimpin untuk menyokong Anwar.”

Keputusan kolektif sokong Anwar

Syed Saddiq berkata itu adalah keputusan kolektif semua pemimpin parti untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Katanya, pemimpin muda dari semua parti juga berperanan merapatkan jurang antara pemimpin pembangkang.

“Terdapat banyak pemimpin muda dari semua parti. Saya, Ulya dan yang lain bertemu dengan semua pemimpin kanan, berusaha merapatkan jurang.

“Kami ingin menyatukan semua orang, mengetepikan perbezaan dan mengutamakan negara kita. Akhirnya, ini adalah usaha bersama oleh semua pihak (untuk menyokong Anwar).”

“Pemimpin muda menyelaraskan pertemuan dengan ahli Parlimen dari Pejuang, Warisan, Muda, PSB (Parti Sarawak Bersatu) untuk bertemu dan menyelesaikan perbezaan kami dan muncul sebagai satu blok.”

Beliau berkata tujuan utama mereka adalah untuk memastikan mandat rakyat akhirnya berjaya. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen