Malaysia mampu lahir atlet bertaraf antarabangsa, titah Agong, Permaisuri


Abdul Latif bersama pingat emas yang dimenanginya di Tokyo. – Gambar Facebook, 4 September, 2021.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pencapaian cemerlang Abdul Latif Romly membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Dalam catatan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua bertitah ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Latif yang menghadiahkan pingat emas ketiga buat negara pada Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

“Seri Paduka berdua, pada masa yang sama, menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau (Abdul Latif Romly) yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Abdul Latif turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya atlet di Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa,” demikian menurut catatan itu.

Selain itu, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada juara bertahan Rio 2016 itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama pada kejohanan akan datang.

Abdul Latif memenangi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada temasya berprestij itu, hari ini.

Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya 7.26 meter yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia pada temasya itu yang berakhir esok.

Terdahulu, Cheah Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama pada Sukan Paralimpik. – Bernama, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen