Kerajaan Colombia, pemberontak bakal runding gencatan senjata


Presiden Colombia Juan Manuel Santos berkata kerajaannya akan berusaha merundingkan perjanjian gencatan senjata kedua dengan kumpulan gerila Tentera Pembebasan Nasional (ELN). – Gambar AFP, 22 Januari, 2018.

PRESIDEN Colombia Juan Manuel Santos pada Ahad berkata kerajaannya akan berusaha merundingkan perjanjian gencatan senjata kedua dengan kumpulan gerila Tentera Pembebasan Nasional (ELN), lapor agensi berita China Xinhua.

Sebagai respons kepada gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan dialog berterusan antara kedua-dua pihak yang bertelagah, Santos berkata beliau mengarahkan Gustavo Bell, ketua perunding kerajaan dalam rundingan damai dengan pemberontak, untuk kembali ke Quito, Ecuador di mana perbincangan diadakan.

“Selaras dengan gesaan PBB, Gustavo Bell akan ke Quito untuk meneroka kemungkinan satu gencatan senjata bagi membolehkan kita meneruskan rundingan damai dengan ELN,” kata Santos menerusi akaun Twitter.

Pada Sabtu, PBB menggesa kedua-dua pihak agar tidak menghentikan usaha untuk menamatkan pertempuran yang berlangsung selama lima dekad.

ELN turut melahirkan kesediaan untuk meneruskan perbincangan dan mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi “kami bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pertemuan antara ketua-ketua delegasi ...untuk meneliti permulaan serta-merta pusingan kelima rundingan bagi membincangkan semua isu yang tertangguh.”

Satu gencatan senjata dua hala, yang berkuat kuasa pada 1 Oktoberk, 2017 sebagai satu cara untuk mempromosi kebaikan semasa rundingan itu, tamat pada 9 Januari dan selepas itu, ELN segera menyambung semula serangan ke atas sasarannya di negara tersebut, terutama saluran minyak.

Serangan itu mendorong Santos mengarahkan Bell ke Bogota semula untuk berunding mengenai langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil oleh kerajaan. – Bernama, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen