LANGSUNG: Isteri aktivis beritahu panel beliau syaki Jabatan Mufit Perlis, Shahidan


Noel Achariam

Isteri aktivis yang hilang Amri Che Mat, Norhayati Ariffin hadir memberi penerangan bagi siasatan awam Suhakam di ibu pejabat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 22 Januari, 2018.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat bermula hari ini bagi menentukan sama ada beliau menjadi kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa.

Siasatan diteruskan hari ini selepas pendengaran kes kehilangan Pastor Raymond Koh digantung.

Siasatan hari ini akan tertumpu pada Amri, pengasas kumpulan amal Perlis Hope, yang hilang tanpa jejak pada 24 November 2016.

Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.

Lelaki berusia 43 tahun, yang merupakan sebahagian daripada pasukan ekspedisi Gunung Everest 1997, dilaporkan memberitahu anak sulungnya akan keluar malam itu. Beliau mempunyai empat anak perempuan, berumur 19, 17, 15 dan 10 tahun.

Dalam laporan polis yang dibuat isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata terdapat kereta dan motosikal tidak dikenali diletakkan berhampiran rumah mereka pada hari aktivis itu hilang.

Norhayati, yang dipanggil sebagai saksi, dijangka memberi keterangan hari ini.

Jurucakap Perlis Hope, Mohd Aizat Zahid berkata Norhayati dan keluarga masih terkesan dengan kehilangan Amri.

Pada 16 Januari, siasatan itu berada di peringkat akhir menyiasat kehilangan Koh apabila prosiding terpaksa ditangguh selepas polis mendedahkan mereka menangkap suspek berkaitan penculikannya.

Suhakam kemudian memutuskan untuk menggantung siasatan terhadap penculik Koh, kerana kes itu kini berada di mahkamah.

Koh diculik pada Februari tahun lepas.

Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.

The Malaysian Insight membawa anda maklumat terkini mengenai prosiding hari ini.

5.05pm: Peguam keluarga Amri bertanyakan pendapat Norhayati setakat ini mengenai siasatan ini.

Norhayati berkata dia kecewa kerana polis tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai kes itu.

“Sudah masuk setahun dan anak-anak saya bertanyakan tentang Amri.

“Sekarang saya jadi ibu tunggal dan perlu sara empat anak remaja. Amri seorang yang sering membawa kegembiraan dan suka membantu orang.

“Saya berdoa siasatan ini akan beri jawapan kepada apa yang sebenarnya berlaku kepadanya.

“Saya tahu dia masih hidup dan boleh diselamatkan.”

Siasatan hari ini berakhir dan akan bersambung pada 24 Januari.

4.50pm: Peguam keluarga Amri meminta Norhayati menjelaskan perjalanannya ke Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat mengenai kes Amri.

Norhayati berkata dia ke sana bersama dua rakan Amri dan tiga anaknya.

“Saya berjumpa seorang pegawai di sana dan meminta untuk berjumpa dengan mana-mana pegawai kanan di sana. Pegawai itu berkata tiga orang pegawai tiada kerana menghadiri mensyuarat.

“Saya kemudian menunjukkan kepada mereka maklumat mengenai Amri yang hilang.

“Pegawai itu kemudian menelefon beberapa pegawai lain datang. Salah seorang pegawai polis mengatakan tiada maklumat mengenai Amri.”

4.40pm: Peguam keluarga Amri bertanya Norhayati mengenai laporan polis kedua yang dibuat.

“Saya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pihak polis kerana mereka tidak melakukan apa-apa berhubung kes Amri atau atau demi keselamatan keluarga saya.

“Tiga hari selepas Amri hilang, media melaporkan Ketua Polis Perlis Abdul Rashid menafikan dakwaan Amri diculik.

“Bagaimanakah pegawai kanan polis membuat kenyataan seperti itu walaupun tanpa sebarang iasatan terperinci.”

Norhayati berkata selepas rakan-rakan Amri memulakan siasatan mereka sendiri dan mendapati bukti menunjukkan ada unsur jenayah yang terlibat.

“Kenapa polis yang mempunyai kemampuan tidak dapat menemui sebarang bukti.”

4.20pm: Peguam keluarga Amri bertanya Norhayati mengenai laporan polis yang dibuatnya sehari selepas suaminya hilang.

“Saya pergi ke balai polis pada pukul 10 pagi untuk membuat laporan polis.

“Kemudian pada pukul 1.30 petang seorang pegawai polis berpakaian biasa meminta saya masuk ke bilik dan bertanya tentang Amri. Dia berkata dia kenal Amri.

“Dia hanya bertanya kepada saya mengenai aktiviti Syiah Amri.”

Peguam Amri kemudian bertanya Norhayati apa yang dijawabnya kepada pegawai polis itu.

Norhayati berkata Amri terlibat dalam perdagangan mata wang asing dan pengasas Perlis Hope.

“Perbualan hanya berlangsung selama 10 minit.”

4.15pm: Peguam keluarga Amri bertanya Norhayati mengenai pertemuannya dengan kawannya, Ustaz Jamil.

Norhayati berkata Jamil memberitahu dia sepatutnya bertemu Amri di sebuah restoran di Jitra pada 24 November 2016.

“Dia sepatutnya bertemu tetapi dia tidak muncul. Dia juga memberitahu saya dia tidak tahu di mana Amri.

“Jamil berkata ketika Amri tidak muncul, dia menelefon Amri pada pukul 11.30 malam. Jamil berkata Amri terdengar cemas. Dia hanya menjawab ‘okay’ kepada Jamil dan meletakkan telefon.”

3.40pm:  Peguam keluarga Amri meminta Norhayati menjelaskan lebih lanjut mengenai mereka yang mengutuk Amri dan Perlis Hope.

Norhayati berkata sebulan sebelum Amri hilang, dia bimbang dengan posting Facebook oleh Maza.

“Amri percaya dia menjadi sasaran apabila melihat posting Facebook Maza dan Jabatan Mufti Perlis.

“Ia adalah mengenai mesyuarat Maza dengan DCP Awaluddin Jadid dan Jabatan Mufti Perlis mengenai penyiasatan Perlis Hope. Mesyuarat itu bertujuan mengumpulkan maklumat tentang Perlis Hope.

“Mengenai posting Facebook Maza, dia mengucapkan terima kasih kepada Awaluddin dan berkata mereka telah berkongsi maklumat.

“Dia juga menasihati orang Perlis agar berhati-hati dengan Perlis Hope.”

Mah berkata Maza akan dipanggil sebagai saksi bagi menjawab soalan.

Peguam keluarga Amri kemudian bertanya kepada Norhayati di mana dia melihat posting dan dijawab, Amri menunjukkan kepadanya mengunakan telefon bimbit.

Pemantau siasatan kehilangan Amri Che Mat menyambung semula sesi selepas mengadakan perbincangan tertutup di antara panel, pemerhati dan saksi di ibu pejabat Suhakam di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2018.

3.10pm: Peguam keluarga Amri kemudian menunjukkan gambar mesyuarat di pejabat Jabatan Mufti Perlis sehari selepas serbuan itu kepada Norhayati.

Norhayati mengenal pasti Amri dan Maza di dalam gambar tersebut.

Peguam Amri kemudian bertanya mengapa Amri dipanggil ke pejabat Jabatan Mufti Perlis.

Norhayati berkata mereka memanggil Amri berkaitan ajaran Syiah.

“Amri yang menghadiri mesyuarat itu berkata dia diberitahu oleh Jabatan Mufti Perlis yang mereka tidak mempunyai masalah dengan ajaran Syiah kerana ia dibuat secara tertutup.

Peguam keluarga Amri kemudian memintanya untuk mengesahkannya dan dijawab betul.

Mah kemudian bertanya kepada Norhayati jika Amri terlibat dalam aktiviti Syiah dan diberitahu Norhayati, beliau tidak dapat menjawabnya.

Peguam keluarga Amri kemudian menyampuk dan mengatakan isu ini melibatkan pihak berkuasa dan ia perlu dibincangkan secara tertutup.

Panel dan peguam berhenti sebentar bagi membincangkan perkara itu di pejabat bersebelahan siasatan yang sedang berlangsung.

2.45pm: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati jika dia ada menerima ugutan atau tuntutan wang tebusan dari sesiapa.

Norhayathi berkata tiada ugutan, tetapi Amri menjadi sasaran Jabatan Mufti Perlis, polis dan seorang ahli politik.

“Dia diminta supaya disiasat oleh Jabatan Mufti Perlis dan ahli politik itu kerana disyaki terlibat dalam ajaran syiah.

“Tuduhan ini serius dan melibatkan ‘Cawangan Khas’.”

2.35pm: Tiga keping gambar ditunjukkan kepada Norhayati dan diminta supaya mengenal pasti para sukarelawan di dalam gambar terbabit.

Norhayati menerangkan yang gambar pertama menunjukkan sukarelawan sedang mengedarkan beras, kedua; membina rumah, ketiga; mengedarkan bubur lambuk dan keempat; sedang menjalankan gotong-royong di sebuah rumah ibu tunggal.

Kesemua gambar itu katanya diambil pada 2016 sebelum kehilangan Amri.

Apabila ditanya peguam jika dia mengecam sesiapa di dalam gambar itu, Norhayati memberitahu dia mengecam Amri, sambil menahan sebak.

2.20pm: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati sekiranya Perlis Hope mengamalkan diskriminasi dalam membantu orang miskin.

Kata Norhayati, tiada diskriminasi.

“Kami bantu semua orang dari semua agama dan bangsa.

“Kami juga dapat dana dan sumbangan dari penyumbang.

“Kami bantu ibu tunggal, bina rumah untuk orang miskin dan membantu kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.”

1.05pm: Pesuruhjaya Aishah Bidin bertanya Norhayati mengapa dia berfikir Shahidan dan Jabatan Mufti Perlis mengutuk Perlis Hope.

Norhayati berkata mereka tidak selesa dengan aktiviti Perlis Hope membantu golongan miskin.

“Perlis Hope membina rumah berhampiran rumah Shahidan untuk golongan miskin dan kami juga memberikan beras kepada golongan miskin.

“Mungkin ia akan kelihatan seperti orang Perlis Hope yang melakukan semua aktiviti dan mereka tidak banyak membantu orang miskin.”

Aishah kemudian bertanya Norhayati jika dia boleh menunjukkan bukti Shahidan mengutuk Perlis Hope di Facebook.

Norhayati berkata Amri pernah menunjukkan kepada status Facebook Shahidan.

“Saya tidak ingat apa yang dikatakannya (Shahidan).”

Suhakam berhenti rehat untuk makan tengah hari.

12.55pm: Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Norhyahti mengenai aktiviti Perlis Hope.

Norhayathi berkata Perlis Hope membantu golongan miskin dengan membantu mereka membina rumah dan memberi beras.

“Kami membantu semua kaum, daripada Melayu, Cina dan India.

“Kami mendapat dana untuk melakukan kerja amal daripada pelbagai sumbangan.

Mah bertanya sama ada Perlis Hope mempunyai kaitan dengan mana-mana aktiviti keagamaan.

Norhayati berkata ia bukan NGO politik atau agama.

“Kami hanya membantu orang miskin.”

12.45pm: Pegawai Suhakam bertanya sama ada Norhayati ada menerima sebarang permintaan tebusan untuk Amri.

Norhayati menjawab tidak menerima apa-apa notis tebusan.

Beliau kemudian disoal bila kali terakhir bertemu pihak polis.

Norhayati berkata kali terakhir berhubung dengan polis adalah ketika membuat laporan polis pada 8 Disember 2016.

“Selepas itu, saya selalu menghubungi Inspektor Koh untuk mendapatkan maklumat terkini dan kemudian dia memberitahu saya kes itu dihantar ke Bukit Aman.

“Saya ke Bukit Aman selepas April 2017 dan pegawai di sana mengatakan tiada kes kehilangan Amri.”

12.35pm: Norhayati berkata pada 2015 kira-kira 20 pegawai daripada Jabatan Mufti Perlis dan polis datang menaiki 10 kereta menyerbu rumah mereka.

“Mufti Perlis Maza juga ada di sana dan meminta masuk ke rumah dan saya tidak membenarkan mereka kerana suami saya tidak berada di rumah.

“Polis mula menjerit kepada anak bongsu saya yang berada di luar rumah ‘di mana ayah kamu’.

“Mereka kemudian memecah masuk Perlis Hope yang terletak di sebelah rumah saya.

“Mereka kemudian datang dan mengambil kenyataan tentang aktiviti Perlis Hope dan pergi.”

Norhayathi berkata Maza kemudian memintanya datang ke pejabat Jabatan Mufti Perlis.

“Saya ke pejabat beliau keesokan harinya.”

12.25pm: Pegawai Suhakam bertanya sama ada dia mengesyaki ada individu yang terlibat dengan kehilangan suaminya.

Norhayati mendakwa Jabatan Mufti Perlis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim.

“MAIPs mengecam aktiviti Perlis Hope membantu golongan miskin. Shahidan juga mengecam Perlis Hope di Facebooknya.

“Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) juga memberi amaran kepada rakyat supaya berhati-hati mengenai aktiviti Perlis Hope yang berkaitan dengan keganasan.”

12.10pm: Pegawai Suhakam bertanya Norhayathi apa yang dilihat di kawasan kereta Amri dijumpai.

Norhayati berkata cukai jalan, pelekat Perlis Hope, dompet dan telefon bimbit serta beberapa dokumen hilang.

“Sebahagian daripada plat nombor patah dan tingkap pecah.”

11.55am: Pegawai Suhakam bertanya bilakah kali terakhir melihat Amri.

Norhayati berkata kali terakhir melihat Amri pada pukul 11.30 malam pada 24 November.

“Kami pergi menjemput anak perempuan saya pada jam 7 malam dan kemudian pulang ke rumah. Dia kemudian tidur dan meminta saya kejutkannya pada jam 10.30 malam.

Dia kemudian memberitahu saya dia akan berjumpa dengan kawan dan pergi pada pukul 11.30 malam. Kemudian dia tidak melihatnya, “katanya.

Norhayati berkata beliau membuat dua laporan polis mengenai kehilangannya di IPD Kangar.

“Seorang Inspektor Koh di stesen itu menelefon saya lima kali untuk memberi kenyataan.

“Saya terus bertanya tentang progres kes tetapi mereka terus mengatakan tidak mempunyai maklumat,” katanya.

11.45am: Pegawai Suhakam bertanya Norhayati bila beliau menyedari kehilangan Amri.

Norhayati berkata beliau mendapati Amri hilang pada pagi 25 November 2016.

“Saya mendapat panggilan daripada adik saya pada jam 6 pagi memberitahu dia menerima  panggilan telefon daripada polis yang keretanya ditinggalkan di sebuah sekolah di Kangar.

“Apabila pergi ke sana forensik sedang memeriksa kereta Toyota Fortuner dengan plat nombor WB1214,” katanya.

11.30am: Siasatan Suhakam berhubung kehilangan aktivis Amri Che Mat bermula dengan isterinya, Norhayati yang dipanggil sebagai saksi pertama. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Janganlah membuat spekulasi mengenai kes berkenaan kerana pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan