Agong, Permaisuri bangga pencapaian Liek Hou


Liek Hou bangga bersama pingat emas yang dimenanginya. – Gambar Facebook, 4 September, 2021.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sukacita dan bangga dengan kejayaan Cheah Liek Hou yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Dalam catatan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki kategori SU5 badminton Paralimpik negara itu yang menghadiahkan pingat emas kedua buat negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

“Pencapaian cemerlang Liek Hou membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” demikian menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Liek Hou turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya atlet di Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Selain itu, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Liek Hou dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama pada kejohanan akan datang.

Juara dunia enam kali itu muncul pemenang pingat emas badminton pertama dalam Sukan Paralimpik, selepas menewaskan musuh utamanya Dheva Anrimusthi dari Indonesia pada perlawanan akhir kategori SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan pilihan utama temasya Dheva 21-17, 21-15 di Stadium Nasional Yoyogi.

Badminton dipertandingkan buat kali pertama pada Sukan Paralimpik di Tokyo. – Bernama, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen