Nazifuddin pertahan jawatan setiausaha agung MOM


Nazifuddin (kanan) bersama Norza pada sidang media maya hari ini. – Gambar Facebook, 4 September, 2021.

SETIAUSAHA Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohd Nazifuddin Najib mempertahankan jawatan bagi penggal 2021-2025 selepas mengetepikan lawannya yang juga bekas Timbalan Presiden Abdul Azim Mohd Zabidi dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu yang dijalankan secara maya hari ini.

Pada pertandingan dua penjuru itu, Nazifuddin menang dengan 74 undi berbanding lawannya Azim yang memperoleh hanya 27 undi. Terdahulu, dua calon iaitu Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) Melvin Chia serta Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia Megat Fairuz Khairuddin menghantar notis menarik diri.

Perebutan bagi lima jawatan naib presiden pula menyaksikan Shahrul Zaman Yahya meraih sokongan tertinggi dengan 81 undi, diikuti Mumtaz Jaffar (79), Chong Kim Fatt (79), Nur Azmi Ahmad (76) manakala Megat Zulkarnain Omardin memperoleh 68 undi.

Sementara itu, penolong setiausaha agung bagi kerusi lelaki dimenangi Chan Foong Keong dengan 66 undi berbanding lawannya Syed Zainal Abidin Syed Zin (35 undi), manakala Mohd Nasir Ali meraih 65 undi untuk menewaskan Amarjit Singh Gill (36 undi) bagi jawatan penolong bendahari.

Pengundian hari ini bagi melengkapkan senarai barisan kepimpinan tertinggi MOM bagi penggal 2021-2025.

“Saya fikir kami patut berbangga kerana ini sesuatu yang amat bersejarah, ini bukan sahaja mesyuarat agung tahunan MOM pertama yang kami lakukan secara dalam talian, bahkan kami melakukan seluruh proses pemilihan secara maya.

“Saya harap selepas ini, selaras dengan proses digitalisasi dalam industri sukan, apa yang kami lakukan di MOM juga boleh dilaksanakan di semua persatuan sukan kebangsaan dengan mencontohi sepenuhnya cara kami menjalankan AGM dan pemilihan secara dalam talian,” kata Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria.

Pada 27 Ogos, Norza mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding sebagai presiden bagi penggal 2021-2025 sebaik pencalonan ditutup dua hari sebelumnya, manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Hamidin Mohd Amin juga menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden. – Bernama, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen