Imam, bilal enggan divaksin akan diberi kaunseling, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kumpulan imam dan bilal yang enggan terima suntikan vaksin Covid-19 akan diberi kaunseling. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2021.

KUMPULAN imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

“Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin Covid-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat Covid-19 kini merupakan endemik. – Bernama, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen