PRESIDEN China, Xi Jinping berkata usaha memerangi pandemik Covid-19 dan menjalankan pembangunan serta penyelidikan vaksin sebagai produk awam memerlukan kerjasama padu masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata semua pihak juga perlu berganding bahu menangani tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu vaksin dan pencarian asal usul virus bagi mengglakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan dalam bidang kesihatan.
Di samping itu beliau turut menyeru untuk meningkatkan penyambungan dan kerjasama antara inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Kesatuan Ekonomi Euroasia (EAEU) , menyokong pembangunan ekonomi digital yang berorentasikan inovasi, bersama-sama menghadapi perubahan iklim sejagat dan mendorong pembangunan sosioekonomi serantau.
Xi berkata demikian pada ucaptama sempena sidang pleno Forum Ekonomi Timur keenam secara maya pada Jumaat.
Forum Ekonomi Timur yang bertemakan “Peluang baharu di Timur Jauh dalam konteks perubahan situasi dunia” itu berlangsung di Vladivostok, Rusia bermula Khamis hingga Sabtu.
Katanya lagi sempena ulang tahun ke-76 kemenangan perang anti-Fasis dunia dan juga kemenangan perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun, hari ini masyarakat antarabangsa perlu memelihara kemenangan Perang Dunia ke II, kebenaran fakta sejarah, di samping mengambil iktibar daripada sejarah.
Pada Jun lalu, Presiden Xi dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin mengadakan rundingan menerusi panggilan video dan sepakat untuk melanjutkan “Perjanjian Kerjasama Jiran Baik dan Persahabatan China-Rusia”.
Kedua-dua pemimpin juga sepakat mencapai konsensus baharu mengenai memperkasakan penyelarasan strategik dan kerjasama pragmatik pelbagai bidang.
“Perkongsian strategi komprehensif China-Rusia dilihat mempunyai momentum yang kuat dan prospek cerah pada era baharu,” kata beliau. – Bernama, 4 September, 2021.
Komen