Biden arah dedah dokumen rahsia 9/11


Seorang wanita melihat gambar dan notis orang hilang di dinding di Manhattan, New York, AS, pada 21 September 2001 ketika kerja menyelamat dilakukan di World Trade Center. – Gambar EPA, 4 September, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat mengarahkan dokumen rahsia siasatan kerajaan terhadap serangan pengganas 9/11 didedahkan dalam tempoh 6 bulan lagi.

Tindakan itu susulan tekanan daripada keluarga kira-kira 3,000 mangsa yang terbunuh dalam serangan Al-Qaeda pada 11 September 2001.

Mereka sekian lama berpendapat dokumen dirahsiakan itu mungkin mengandungi bukti kerajaan Arab Saudi, sekutu rapat AS, mempunyai hubungan dengan perampas pesawat yang merempuh World Trade Center dan Pentagon.

“Hari ini, saya menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Jabatan Kehakiman dan agensi lain berkaitan untuk memantau semakan pengubahan status dokumen berkaitan dengan siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan 11 September,” kata Biden dalam satu kenyataan.

Pengubahan status perlu dibuat dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kita tidak boleh melupakan penderitaan keluarga dan insan tersayang daripada 2,977 orang tidak bersalah yang terbunuh semasa serangan pengganas terburuk ke atas Amerika dalam sejarah kita,” kata Biden.

Langkah itu diambil menjelang ulang tahun ke-20 serangan itu, yang mendorong presiden ketika itu George W. Bush segera memerintahkan serangan terhadap Afghanistan, di mana Taliban melindungi pemimpin Al-Qaeda.

Biden menarik keluar tentera AS terakhir dari Afghanistan minggu ini, menyempurnakan pemindahan dramatik dari lapangan terbang Kabul selepas Taliban menggulingkan kerajaan disokong AS dan kembali berkuasa.

Desakan mendapatkan lebih banyak maklumat disebabkan oleh keluarga mangsa yang memfailkan saman terhadap Arab Saudi berhubung dakwaan terlibat dalam serangan ngeri itu. 
Ahli keluarga sekian lama meluahkan kekecewaan mereka terhadap dokumen yang tidak boleh dilihat.

Suruhanjaya 9/11 rasmi, yang ditubuhkan oleh Kongres berkata “tiada bukti kerajaan Arab Saudi sebagai institusi atau pegawai kanan Arab Saudi secara individu membiayai” Al-Qaeda.

Ungkapan itu ditafsirkan oleh beberapa orang yang berkata tokoh Arab Saudi tidak rasmi atau lebih rendah mungkin memainkan peranan.

Sebilangan siasatan masih boleh dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan.

Dalam perintah eksekutif yang mencetus proses pertukaran status dokumen itu, Biden berkata peristiwa yang dimaksudkan berlaku dua dekad lalu atau lebih lama, dan ia berkaitan momen tragis yang terus bergema dalam sejarah Amerika. – AFP, 4 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen