Dasar bantuan kewangan bagus tetapi tidak berkesan, kata pemimpin perniagaan


Ragananthini Vethasalam Raevathi Supramaniam

Banyak perniagaan tidak mendapat bantuan tepat pada masanya yang mengakibatkan mereka terpaksa gulung tikar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2021.

SEKTOR perniagaan mengharapkan lebih banyak bantuan kewangan ketika pandemik, polisi jelas untuk diikuti dengan pelaksanaan menyeluruh, dan juga kurang kerenah birokrasi daripada pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Tiada gunanya jika pembiayaan dan rancangan hanya bagus di atas kertas tetapi pelaksanaan tidak dijalankan secara sama rata, kata wakil sektor itu.

Pengerusi Yayasan Keusahawanan Malaysia Nitesh Malani berkata terdapat rancangan dan dasar yang baik tetapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tidak selalu menyaksikan ia menjadi kenyataan.

“Kami lihat polisi yang dibuat dengan baik tetapi pelaksanaannya oleh agensi dan kementerian berkaitan teruk,” katanya, dan menjadikan contoh beberapa inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap perniagaan.

Beberapa perniagaan tidak mendapat bantuan tepat pada masanya, kata Nitesh.

“Apabila menyentuh perkara asas seperti subsidi gaji, dan saya rasa terdapat penangguhan dua bulan dan lebih, ia sangat penting bagi PKS untuk mengekalkan gaji pekerja secara berterusan.

“Kami menerima banyak maklum balas dari awal yang banyak PKS tidak menerimanya, hingga ke hari ini, dana yang dijanjikan.”

Masalah ini bertambah buruk apabila panggilan ke pentadbiran kerajaan tidak berjawab kerana sebahagian perkhidmatan awam bekerja dari rumah kerana wabak, tambah Nitesh.

Setakat ini, Putrajaya memperuntukkan RM530 bilion melalui lapan pakej rangsangan ekonomi, dengan lebih RM80 bilion adalah suntikan fiskal langsung.

Menurut portal kewanganrakyat milik Kementerian Kewangan, pada 12 Julai kerajaan memperuntukkan RM114.6 bilion daripada pakej rangsangan untuk kesinambungan perniagaan dan RM11.2 bilion bagi ketahanan ekonomi.

Nitesh berkata jumlah penutupan perniagaan semakin meningkat, dan kini dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 perniagaan, berbanding lebih 30,000 yang ditutup pada awal tahun.

Sebahagian besar penutupan melibatkan industri perhotelan, pelancongan, F&B, sektor perkhidmatan dan peruncitan. – 4 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen