Bantahan makin hangat, ribuan sertai perarakan wanita di Las Vegas


Peserta himpunan perarakan wanita mendengar ucapan speaker ketika berkumpul di stadium Sam Boyd di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat semalam. – Gambar AFP, 22 Januari, 2018.

SEMALAM masuk hari kedua demonstrasi mendesak hak wanita dan bantahan terhadap Presiden Donald Trump, diadakan dengan jalan-jalan di Las Vegas sesak dengan penunjuk perasaan.

Perhimpunan itu bertujuan untuk membangkitkan keperluan organisasi politik menjelang pemilihan kongres penggal pertengahan yang akan diadakan hujung tahun ini.

“Kita perlu berarak bersama, kita perlu bersatu, bergerak bersama dan undi bersama, walaupun kita tidak suka satu sama lain,” kata Tamika Mallory, pengerusi bersama penganjur perarakan wanita itu di Las Vegas.

“Kita ada kuasa untuk ubah setiap dasar dan menjadikan setiap wakil rakyat yang dilantik bekerja untuk kita, tetapi kita perlu bangkit dan lantang serta berani.”

Penunjuk perasaan berarak dan melaungkan “kuasa ke arah pilihan raya”.

Sebahagiannya turut membawa sepanduk tertera “Presiden AS rasis”, sementara yang lain melaungkan “kerja yang sama, bayaran perlu sama”.

Pada Sabtu, penunjuk perasaan memenuhi jalan raya sekitar Amerika Syarikat dengan membawa dram dan memakai topi warna merah jambu dalam perarakan wanita yang kali kedua diadakan, sebagai bantahan terhadap presiden – sejak pelantikan Trump, dengan lebih tiga juta orang menyertainya di seluruh negara.

Ratusan ribu peserta berkumpul di Los Angeles, New York, Washington, Chicago, Denver, Boston dan beberapa bandar lain di seluruh AS. – AFP, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen