RIBUAN orang beratur di ibu kota Ireland semalam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Dolores O’Riordan, penyanyi kumpulan Cranberries yang meninggal dunia di London pada Isnin lalu.
Ibu O’Riordan serta lima adib beradiknya mengiringi keranda memasuki gereja St Joseph, di Limerick, barat daya Ireland, lapor stesen televisyen negara RTE.
Rakaman video menunjukkan orang ramai berkabung ketika cuaca mendung dan hujan, berlindung di bawah payung dan tetap beratur untuk masih ke dalam gereja dan memberi penghormatan terakhir.
Majlis pengebumian tertutupnya yang dijangka dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan, akan diadakan di Gereja Saint Ailbe di Ballybricken, esok.
Susulan kematiannya, Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar menjadi antara yang terawal mengucapkan takziah.
Koroner di Londond, Stephen Earl pada Jumaat berkata beliau masih menunggu keputusan ujian bedah siasat yang akan lengkap pada 3 April, walaupun kematian penyanyi itu tidak dianggap mencurigakan.
O’Riordan, 46, ditemui mati dalam bilik mandi di biliknya di Hotel Hilton oleh pekerja hotel, beberapa jam sebelum mendiang dijadualkan hadir di studio untuk rakaman album bersama sebuah kumpulan rock heavy metal.
O’Riordan sepatutnya merakamkan suara untuk lagu Zombie, lagu yang menempatkan Cranberries ke peta muzik dunia daripada album kedua mereka, No Need to Argue yang terbit pada 1994.
Lagu itu merupakan dedikasinya kepada mangsa serangan bom keganasan IRA di England setahun sebelum itu.
Cranberries merupakan antara kumpulan muzik Ireland yang mencipta nama di peringkat dunia pada 1990-an dan dianggap mewakili suara generasi zamannya.
Kumpulan empat anggota itu mula terkenal dengan lagu Linger dan Dreams daripada album pertama Everybody Else Is Doing It, So Why Can’t We? terbitan 1993 dan terjual lebih lima juta unit di seluruh dunia. Keseluruhan tujuh album Cranberries antara 1993 dan 2017 terjual lebih 40 juta unit.
Cranberries berpecah selepas album Wake Up and Smell the Coffee (2001) apabila O’Riordan memilih berehat untuk meneruskan karier solo. Mereka bagaimanapun bergabung semula pada 2009 dan menerbitkan album Roses pada 2012 dan kemudian Something Else pada tahun lalu, yang menghimpunkan rakaman semula 10 lagu popular mereka dalam versi akustik dan tiga lagu baru. – AFP, 22 Januari, 2018.
Komen