Ronaldo kembali sarung jersi nombor 7 Manchester United


Cristiano Ronaldo bakal sarung kembali jersi nombor 7 dalam penampilan keduanya bersama Manchester United. Jersi itu antara kit berharga pasukan kerana pernah disarung pemain hebat seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona dan David Beckham. – Gambar Twitter, 3 September, 2021.

BINTANG bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo bakal menyarung kembali jersi nombor 7 menerusi penampilan keduanya bersama pasukan Manchester United, menurut kelab Liga Perdana Inggeris semalam.

“Manchester United mengesahkan Cristiano Ronaldo bakal menyarung kembali jersi nombor 7 setelah kembali ke Old Trafford.

“Pemain tersohor itu memakai jersi itu ketika musim pertamanya di United, dan kami mengesahkan bahawa Ronaldo akan kembali menyarung jersi berkenaan,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan laman web rasmi kelab.

Ronaldo mewarisi jersi nombor 7 daripada Edinson Cavani, sewaktu penyerang Uruguay itu menyarungnya musim lalu.

Cavani tidak menganggap jersi itu membawa tuah dan beralih menyarung jersi nombor 21, yang merupakan pilihannya ketika beraksi dengan pasukan nasional Uruguay.

Bagaimanapun, Ronaldo merakamkan penghargaan kepada Cavani.

“Saya juga tidak pasti adakah saya berpeluang mendapat kembali jersi No 7 berkenaan, jadi saya mengucapkan penghargaan kepada Edi atas sikapnya yang luar biasa,” kata Ronaldo.

Jersi No. 7 antara kit berharga bagi Manchester United kerana pernah disarung beberapa pemain hebat pasukan itu seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona dan David Beckham.

Ronaldo, 36, beraksi dalam 292 perlawanan dan menjaringkan 118 gol untuk Manchester United pada 2003-2009.

Dalam penampilan sulungnya bersama Man Utd, Ronaldo memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara UEFA.

Ronaldo dijangka kembali ke Old Trafford sebagai pemain Manchester United dan bakal menentang Newcastle United di tempat sendiri pada 11 September. – Bernama, 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen