LALUAN pengangkutan baharu yang dibina bersama China dengan beberapa negara Asean termasuk Singapura menunjukkan kemajuan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.
Menjadikan bandar Chongqing sebagai habnya, laluan tersebut bakal menghubungkan negara-negara Asean dengan beberapa wilayah di bahagian barat China termasuk Guangxi, Guizhou, Gansu, Qinghai dan Xinjiang.
Laluan yang merangkumi pengangkutan darat dan laut itu bertujuan untuk merancakkan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua pihak.
Kargo akan dihantar melalui landasan kereta api atau lebuh raya di Guangxi yang bersempadan dengan Asean terlebih dahulu, sebelum dieksport ke seberang laut.
Laluan pengangkutan baharu itu lebih menjimatkan masa berbanding dihantar menerusi pelabuhan-pelabuhan di bahagian timur China.
Petugas syarikat Sinotrans cawangan pelabuhan Qinzhou, Wu Qiuyuan berkata, urusan kargo di kastam dikendalikan dengan lebih efisien susulan pembukaan kaunter khusus untuk laluan pengangkutan baharu tersebut.
“Kargo yang dikendalikan syarikat kami dapat selesaikan pemeriksaan kastam hanya dalam masa setengah jam, kemudian terus dihantar ke Thailand menggunakan kapal,” kata Wu.
Selain mempunyai ciri-ciri lebih ekonomik, efisien dan selamat, konsep mesra alam turut diutamakan dalam proses pembinaan laluan itu. – Bernama, 3 September, 2021.
Komen