PELUANG pembangunan yang dicetuskan perdagangan perkhidmatan diharap dapat dinikmati oleh semua, kata Presiden China Xi Jinping.
“China bersedia bersama-sama semua pihak memperkasakan keterbukaan dan kolaborasi demi kebaikan bersama sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Perdagangan Perkhidmatan Global di Beijing, Khamis.
Beliau turut mengumumkan beberapa langkah penting yang memperlihatkan komitmen China untuk mempertingkat tahap keterbukaan antaranya merintis pembangunan inovatif perdagangan perkhidmatan.
Selain itu katanya langkah-langkah lain termasuk membangunkan zon demonstrasi perdagangan digital, menubuhkan Bursa Saham Beijing untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berorientasikan inovasi dan banyak lagi.
Naib Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Anabel Gonzalez pula berkata, nisbah perdagangan perkhidmatan bagi dagangan global kini melepasi paras 20 peratus berbanding sembilan peratus pada 1970, dan dijangka mencapai satu pertiga menjelang 2040.
Beliau berharap negara-negara berkenaan terus menambah baik suasana pelaburan bagi merancakkan lagi kegiatan perdagangan yang cekap dan mampan.
Sidang itu antara agenda utama yang dianjurkan sempena Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2021 yang bermula pada Khamis. – Bernama, 3 September, 2021.
Komen