POLIS New Zealand menembak mati seorang lelaki yang menikam enam pengunjung sebuah pasar raya dengan pisau hari ini, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.
Menurut Ardern, warga Sri Lanka yang berhijrah ke New Zealand pada 2011 itu tersenarai dalam senarai pemantauan polis berkaitan pengganas.
Lelaki itu masuk ke sebuah pasar raya di Auckland dan mengambil sebilah pisau dari rak pameran sebelum menikam mangsa, katanya.
Arden berkata enam pengunjung cedera, termasuk tiga kritikal. Polis kemudian berjaya menembak penyerang terbabit di tempat kejadian.
“Serangan tersebut satu perbuatan keji,” katanya kepada pemberita, menambah ia tidak mewakili mana-mana agama atau bangsa.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New Zealand Andrew Coster berkata pihaknya yakin penyerang terbabit bertindak sendirian. Beliau juga berkata polis akan memberi maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut dalam masa terdekat.
Pada 15 Mac 2019 dunia digemparkan dengan insiden tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand, yang meragut 51 nyawa dan 40 lagi cedera. – AFP, 3 September, 2021.
Komen