TUGU Statue of Liberty yang ditutup sementara oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) susulan penutupan bajet, akan dibuka semula hari ini.
“Kami tidak akan berdiam diri kerana ini adalah simbol kebebasan,” kata Gabenor New York Andrew Cuomo menerusi Twitter semalam, mengumumkan bahawa negeri itu sudah memperoleh dana untuk terus membuka mercu tanda ikonik itu.
Cuomo dari parti Demokrat berkata penutupan taman di sekeliling tugu itu juga menjejaskan ekonomi New York.
“Taman ini simbol New York dan nilai yang kami percaya. Dan mesej yang disampaikan Statue of Liberty sangat penting, terutama pada masa sekarang,” katanya merujuk kepada pertikaian bajet di Washington apabila parti Demokrat cuba melindungi ratusan ribu pelarian tanpa dokumen sebelum bersetuju dengan cadangan Republikan untuk meneruskan penyaluran dana kerajaan.
Kesan kebuntuan bajet itu mengakibatkan banyak perkhidmatan kerajaan termasuk Statue of Liberty ditutup sejak Sabtu lalu.
Bercakap kepada wartawan di Manhattan dengan berlatar belakangkan Statue of Liberty, Cuomo berkata negeri itu akan memperuntukkan RM256,002 setiap hari untuk menggaji pekerja persekutuan bagi membolehkan taman itu terus dibuka.
Pulau Statue on Liberty, dan muzium berhampiran Pulau Ellis menjadi lokasi memproses pendatang ke negara itu, dan pada masa ini dikunjungi 4.5 juta pelawat setiap tahun, dengan kebanyakannya menaiki bot dari Manhattan. – AFP, 22 Januari, 2018.
Komen