16 maut, 22 cedera insiden bas bertembung treler di Mexico


Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dalam kemalangan jalan raya melibatkan bas penumpang dan dua treler traktor di lebuh raya Sonoyta-San Luis Rio Colorado, Mexico utara. – Gambar EPA, 3 September, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 16 orang terbunuh semalam dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas penumpang dan dua treler traktor berhampiran km 39 di lebuh raya Sonoyta-San Luis Rio Colorado di negeri Sonora, Mexico utara, kata Pejabat Peguam Negeri, lapor Xinhua.

Sekurang-kurangnya 22 cedera, dengan enam mangsa berada dalam keadaan kritikal, kata pejabat Sonora dalam mesej Twitter.

Pihak berkuasa keselamatan melaporkan kemalangan itu berlaku kira-kira 5 pagi waktu tempatan dan pasukan perkhidmatan kecemasan dan anggota bomba berusaha sejak awal pagi untuk memberikan bantuan.

Bas dikendalikan syarikat Expreso Interbus itu bertembung dengan treler traktor yang diparkir di tepi jalan dan kemudian dilanggar treler traktor lain yang bergerak dari arah bertentangan, menurut laporan akhbar tempatan. – Bernama, 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen