VARIAN baharu koronavirus yang dikenali sebagai “Mu”, pertama kali dikesan di Colombia pada Januari kini menjadi strain utama di sana dan di sebalik gelombang pandemik yang banyak meragut nyawa, kata seorang pegawai kesihatan pada Khamis.
Varian ini menjadi punca gelombang jangkitan ketiga di Colombia antara April hingga Jun, kata pegawai kesihatan Marcela Mercado kepada sebuah stesen radio tempatan.
Sepanjang tempoh ini, dengan sekitar 700 kematian setiap hari, hampir dua pertiga ujian daripada yang meninggal dunia didapati positif dengan varian Mu, katanya.
“Ia sudah ada di lebih 43 negara dan menunjukkan penularan yang tinggi,” tambahnya.
Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Mu atau nama saintifiknya B.1.621, sebagai “varian diwaspadai”.
Ia berkata varian tersebut mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan memerlukan kajian lebih lanjut untuk memahaminya dengan lebih baik.
“Varian Mu mempunyai konstelasi mutasi yang menunjukkan sifat berpotensi mengatasi imuniti tubuh,” kata agensi itu.
Terdapat kebimbangan meluas mengenai munculnya varian baharu ketika kadar jangkitan meningkat di seluruh dunia, dengan varian Delta yang sangat mudah menular, terutama di kalangan meeka yang tidak divaksinasi dan di wilayah dengan langkah antivirus dilonggarkan.
Semua virus, termasuk SARS-CoV-2, yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari masa ke masa dan kebanyakan perubahan tidak banyak mempengaruhi sifat virus.
Bagaimanapun, mutasi tertentu boleh berubah dari segi penyebarannya, penyebab kepada keseriusan penyakit, atau penentangannya terhadap vaksin dan ubat-ubatan.
WHO menyenaraikan empat varian koronavirus yang diwaspadai, termasuk Alpha, yang terdapat di 193 negara, dan Delta, pada 170 negara lain.
Colombia baru-baru ini melaporkan sekitar 100 kematian Covid-19 dan 2,000 jangkitan setiap hari.
Kurang satu pertiga penduduk Colombia divaksinasi terhadap virus itu, yang meragut hampir 125,000 nyawa di negara itu setakat ini. – AFP, 3 September, 2021.
Komen