Abbas minta Kesatuan Eropah iktiraf negara Palestin


Menteri Luar Palestin Riad al-Malki bercakap tentang pertemuan Presiden Mahmud Abbas dengan blok Kesatuan Eropah dalam satu temu bual di Brussels baru-baru ini. – Gambar AFP, 22 Januari, 2018.

PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi, ketika pertemuan dengan menteri luar dari blok itu hari ini, kata seorang pegawai kanan semalam.

Menteri Luar Palestin Riad al-Malki berkata Abbas akan memberitahu EU, mereka wajar mengambil langkah itu sebagai cara maklum balas ke atas keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Malki dalam satu wawancara di Brussels berkata Abbas juga akan mengulangi komitmennya terhadap proses damai di Asia Barat.

“Memandangkan keputusan Trump mengubah peraturan permainan, beliau (Abbas) menjangkakan menteri-menteri luar Eropah akan tampil ke depan dan secara kolektif mengiktiraf negara Palestin sebagai satu cara tindak balas terhadap keputusan Trump,” kata Malki.

“Jika orang Eropah mahu menjadi pemain, maka mereka harus adil terhadap kedua-dua belah pihak dan ia harus bermula dengan pengiktirafan negara Palestin.”

Abbas dijangka bertemu ketua diplomatik EU, Federica Mogherini dan 28 menteri luar negara kesatuan itu hari ini dalam satu pertemuan sampingan selepas persidangan bulanan mereka.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melakukan kunjungan serupa bulan lalu. – AFP, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen