PBB sambung semula misi kemanusiaan ke Afghanistan


Perkhidmatan Kemanusiaan PBB di Afghanistan memberi khidmat kepada lebih 20 destinasi sejak 2002 hingga 2021. – Gambar AFP, 3 September, 2021.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambung semula penerbangan kemanusiaan ke Afghanistan utara dan selatan selepas pengambilalihan Taliban, kata seorang jurucakap pada Khamis.

Perkhidmatan Udara Kemanusiaan PBB kini menjalankan operasi bagi membolehkan 160 organisasi kemanusiaan meneruskan kegiatan menyelamatkan nyawa di wilayah Afghanistan, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada wartawan.

Penerbangan menghubungkan ibu negara Pakistan, Islamabad dengan bandar Mazar-i-Sharif di utara Afghanistan serta Kandahar di selatan. 

Tiga penerbangan mendarat di Mazar-i-Sharif sejak 29 Ogos. Perkhidmatan Udara Kemanusiaan PBB dikendalikan oleh Program Makanan Dunia.

Dujarric berkata usaha sedang dilakukan untuk melancarkan lebih banyak penerbangan dan ke lebih banyak destinasi.

“Dari 2002 hingga 2021, Perkhidmatan Kemanusiaan PBB di Afghanistan memberi khidmat kepada lebih 20 destinasi di negara ini,” kata Dujarric. “Ia akan berusaha untuk kembali ke lokasi ini selepas keselamatan dan dana mengizinkan.”

Dujarric berkata pegawai sedang berusaha membina jambatan udara kargo untuk mengangkut barangan bukan makanan, seperti bekalan perubatan dan kecemasan lain. – AFP, 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen