Lebih banyak klinik swasta buat khidmat ke rumah ketika pandemik 


Bernard Saw

Permintaan perkhidmatan rawatan doktor ke rumah semakin bertambah apabila negara melaksanakan PKP pada Mac tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

SEGELINTIR klinik swasta menyediakan perkhidmatan ke rumah untuk menampung semula kerugian selepas kurang menerima pesakit ketika pandemik Covid-19.

Khidmat ini mendapat permintaan daripada pesakit warga emas yang enggan meninggalkan kediaman mereka, kata mereka.

Dr Md Azhari Md Zhahir yang bertugas di Semenyih berkata beliau mula menawarkan perkhidmatan itu selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu.

Kliniknya menyaksikan penurunan jumlah kunjungan pesakit. Sebaliknya, permintaan untuk rundingan secara dalam talian dan perkhidmatan ke rumah meningkat. Azhari juga menghantar ubat-ubatan ke rumah pesakit.

“Ramai masih mahu ke klinik, namun ia berkurangan berbanding sebelum pandemik. Saya meninjau beberapa klinik berdekatan dan doktor lain turut berdepan situasi sama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perkhidmatan ke rumah membolehkan beliau meneruskan tugasnya. Beliau menerima dua hingga tiga permintaan untuk ke rumah dan adakalanya beliau terpaksa bekerja pada waktu malam.

Kebanyakan khidmat rawatan yang diperlukan ialah mencuci luka, vaksinasi, memasukkan tiub nasogastrik dan katerer urin.

Permintaan untuk penilaian dan saringan Covid-19 juga meningkat, terutamanya dari kalangan pesakit warga emas dan tinggal bersendirian dan mereka yang menjalani kuarantin di rumah.

Klinik Azhari berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang memantau kes positif yang mempunyai gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan hospital.

Sebagai CAC, kliniknya menghubungi pesakit yang menjalani kuarantin di rumah setiap hari untuk memeriksa perkembangan status kesihatan mereka.

“Kami perlu pastikan pesakit masih di Kategori 1 dan 2 jangkitan Covid-19. Sekiranya keadaan mereka menjadi teruk ke Kategori 3, mereka akan dirujuk ke hospital dengan segera,” katanya.

Sebagai CAC, kliniknya menerima ratusan pesakit setiap hari, dan sekurang-kurangnya satu atau dua pesakit akan dirujuk ke hospital setiap hari.

Bagaimanapun, peningkatan kadar vaksinasi sangat membantu, Azhari berkata jumlah pesakit Covid-19 pada tahap lebih teruk sudah menurun, dan hanya sedikit pesakit yang mengalami gejala teruk.

Di Johor, Dr Bunny Tan turut mula menyediakan perkhidmatan yang sama pada Julai tahun lalu.

Beliau bermula dengan membantu rakan menguruskan rumah orang tua dengan pemeriksaan fizikal agar penghuni tidak perlu keluar ketika pandemik.

Sejak beberapa bulan lalu, khidmat ujian saringan Covid-19 mendapat permintaan tinggi, kata Tan.

“Kebanyakan warga emas sukar untuk keluare dari rumah mereka, dan golongan muda takut untuk membawa orang tua mereka berjumpa doktor selepas mengetahui mereka akan ada kontak dengan kes positif.”

Berdasarkan pemeriksaan yang dibuat ketika mengunjungi rumah kes positif, Tan menasihatkan pesakit untuk kuarantin di rumah, iaitu kes melibatkan Covid-19 gejala ringan Kategori 1 dan 2 untuk memantau sendiri tahap kesukaran bernafas, batuk selepas menarik nafas, sering muntah, cirit birit, dehidrasi dan kurang oksigen dalam darah.

Jika gejala ini berterusan dan semakin teruk, pesakit perlu dimasukkan ke hospital, katanya.

Tambah Tan, walaupun garis panduan Kementerian Kesihatan menyatakan pesakit tidak bergejala yang menjalani kuarantin di rumah boleh keluar selepas 10 hari diasingkan, beliau menyarankan pesakitnya untuk menjalani satu lagi ujian RT-PCR Covid-19 atau nilai CT yang akan menunjukkan tahap virus dalam badan mereka.

“Jika keputusan menunjukkan tahap virus masih tinggi, ini adalah normal (untuk pesakit yang sedang pulih). Pesakit perlu meneruskan kuarantin dan mengelakkan kontak dengan ahli keluarga mereka.”

Nilai CT yang melebihi 30 bermakna sudah selamat untuk menamatkan kuarantin, tambah Tan dan nilai CT yang rendah menandakan kandungan virus masih tinggi. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen