Penyokong tegar tetap yakin PAS akan 'berjaya' dalam PRU14


Chan Kok Leong

Penyokong tegas PAS tekun mendengar ucapan presiden Abdul Hadi Awang di perhimpunan parti Islam itu di Shah Alam, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2018.

KALANGAN penyokong tegar PAS amat yakin bahawa parti Islam itu akan “berjaya” dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), walau sendirian tanpa kerjasama Umno/Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan.

Para penyokong yang ditemui The Malaysian Insight dalam satu perhimpunan PAS semalam amat yakin walau kajian menunjukkan parti itu akan kehilangan Kelantan dan separuh kerusinya di Selangor jika ia melangkah masuk gelanggang PRU14 secara sendirian.

Malah, kajian itu juga menunjukkan presiden mereka, Abdul Hadi Awang tidak selamat di kawasannya sendiri di Marang, Terengganu.

Tidak seperti parti politik lain yang menetapkan matlamat untuk menang kerusi, para penyokong yang setia atau “wala” pada PAS ini percaya bahawa kejayaan itu memadai dengan berusaha.

Namun “usaha” itu tidak termasuk menjalinkan pakatan boleh menang dengan parti lain, sama ada ia Umno/BN atau Pakatan Harapan.

“Perjuangan PAS ialah menegakkan Islam. Sama ada menang atau kalah, ia terpulang pada Tuhan. Selagi kita bekerja keras, itu satu kejayaan juga,” kata Zamri Salzi, 46, ketika ditemui selepas program enam jam di Shah Alam semalam.

Sentimennya itu senada dengan Nur Syuhadah Ismail, 25, seorang ustazah.

“Kami yakin kerana semangat dalam parti sangat tinggi dan selagi kami bekerja keras, itu sudah cukup baik. Matlamat kami untuk menegakkan Islam dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya yang berasal dari Bangi.

Terdahulu, Hadi menyeru kira-kira 5,000 penyokong untuk terus berada di belakang parti supaya dapat menawan Kedah, Perlis dan Perak sementara terus memegang Kelantan dan Selangor. PAS mempunyai 13 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

PAS turut kehilangan Terengganu, yang diterajui Hadi dari 1999-2004 sebelum ia terlepas ke tangan Umno.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang melambai ke arah penyokong yang hadir pada perhimpunan parti Islam itu di Shah Alam, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2018.

Muhammad Suhaimi Saad, dari Kedah yang turut hadir ke perhimpunan itu juga menolak aura negatif yang menyelubungi persoalan sama ada parti itu mampu menang 130 kerusi.

“80% daripada orang muda sokong PAS sekarang. PAS juga ada NGO Muslim dan Gagasan Rakyat,” katanya.

Zamri, 27, yang bertugas sebagai guru berkata beliau percaya kemenangan PAS akan diterima daripada kelompok usia 35 hingga 50 tahun.

“Kami yakin politik Islam ini diterima semua,” katanya.

Nur Syuhadah berkata menang kerusi menjadi persoalan kedua baginya dan rakan-rakan.

Ketika ditanya bagaimana PAS boleh jadi “kingmaker” dengan menang 40 kerusi jika pencapaian terbaiknya dalam PRU ialah 27 kerusi pada 1999, dia hanya mengangkat bahu dan berkata: “Usaha kami hanya membantu parti.”

“Tidak seperti parti lain, tidak ada pemimpin kami pernah ditahan kerana rasuah. Tuduhan yang ada itu (tentang pemimpin terima wang dari Umno) hanya khabar angin dan tidak ada fakta,” katanya.

Nur Syuhadah juga tidak percaya bahawa PAS ada kerjasama sulit dengan Umno untuk bertanding dalam banyak kerusi supaya undi pembangkang terpecah.

Hadi sebelum ini berkata PAS akan bertanding di lebih 130 kerusi persekutuan pada PRU14. Pada PRU lalu, PAS beranding 71 kerusi atas tiket Pakatan Rakyat.

Nur Syuhadah berkata beliau tidak kisah jika undinya itu nanti akan hanya memberi kemenangan kepada BN.

“Tidak mungkin saya akan undi selain daripada PAS. Walaupun jika bermakna BN akan menang. Keputusannya tidak penting kerana saya undi untuk Islam,” katanya ketika ditanya bagaimana beliau mahu mengundi jika berlaku pertandingan tiga penjuru seperti di kerusi Shah Alam.

Walaupun Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari Amanah (dulunya PAS) menang 10,939 undi pada PRU13, kerusi Parlimen itu tetapi dianggap sukar menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Muhammad, yang akan mengundi di Pendang berkata, walaupun tidak menyokong sebarang kerjasama dengan Umno, beliau terima keputusan kepimpinan parti untuk tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain.

“Kami setia dan sokong kepimpinan. Dan segala yang lain terserah kepada Tuhan.” – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • biar si luncai mampus dgn labu labunya

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • yakin pada parti n kekuatan masing2 tu perlu ada tapi kena la logik pada akal dan keadaan, jangan la yakin membuta tuli nanti kalau tak kesampaian merana jawabnya.. mustahil PAS dapat berdiri atas parti sendiri sahaja tanpa bergabung dengan mana2 parti lain..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan