New York, New Jersey isytihar darurat, dibadai taufan Ida


Seorang penghantar barang meredah banjir di New York susulan taufan Ida membadai menyebabkan hujan lebat dan banjir kilat. – Gambar AFP, 2 September, 2021.

LAPANGAN terbang terpaksa ditutup sementara New York dan New Jersey mengisytiharkan darurat susulan hujan lebat dan banjir kilat melanda dua negeri itu, dibawa taufan Ida yang membadai.

Gabenor New York Kathy Hochul mengisytiharkan darurat apabila ribut itu mengakibatkan banjir teruk yang menenggelami Brooklyn dan Queens.

“Berlindung sekarang. Serpihan yang berterbangan sangat berbahaya kepada mereka yang tidak berlindung. Pindah ke tingkat bawah dan jauhi tingkap,” kata agensi amaran kecemasan New York City di Twitter.

Ratusan penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Newark, LaGuardia dan JFK, manakala jalan raya utama di metropolis termasuk Manhattan, The Bronx dan Queens terpaksa ditutup kerana banjir.

Terdahulu, amaran kecemasan banjir kilat dikeluarkan menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi.

“Banjir kilat besar dan mengancam nyawa mungkin melanda dari Mid-Atlantic hingga ke New England,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan dalam satu buletin sambil memberi amaran hujan lebat bakal membadai wilayah terbabit, hari ini.

Di Annapolis yang terletak kira-kira 50km dari ibu kota AS, puting beliung mengakibatkan pokok dan tiang elektrik tumbang.

Banjir di Maryland meragut nyawa seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang lagi individu dilaporkan hilang semalam, menjadikan angka korban Taufan Ida mencecah tujuh orang, setakat ini. – AFP, 2 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen