SEORANG pelajar maut selepas ditembak di sebuah sekolah di Carolina Utara, semalam.
Ketua Polis Winston-Salem Catrina Thompson berkata anggotanya dikerahkan ke Sekolah Tinggi Mount Tabor di bandar itu pada waktu persekolahan, susulan insiden berkenaan.
“Polis menemui seorang pelajar ditembak yang kemudian dikejarkan ke sebuah hospital sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya pada sidang media.
Selepas kira-kira setahun mengikuti pembelajaran dalam talian akibat pandemik Covid-19, pelajar di Amerika Syarikat (AS) kembali menjalani persekolahan secara bersemuka, bulan ini.
Risiko insiden tembakan menghantui sistem pendidikan AS selama bertahun-tahun.
Kejadian tembakan semalam adalah insiden kedua berlaku di sekolah menengah di Carolina Utara, dalam tempoh minggu ini saja.
Sementara itu, polis Winston-Salem dalam kenyataan menerusi Twitter, memaklumkan pihaknya berjaya menahan suspek.
Thompson berkata suspek dipercayai seorang pelajar.
Terdahulu, suspek dilapor melarikan diri dari lokasi kejadian. – AFP, 2 September, 2021.
Komen