Syed Ali Geelani ikon pemisah Kashmir meninggal dunia


Gambar fail pada 2014 ketika ketua pemisah Kashmir, Syed Ali Geelani tiba di Kedutaan Pakistan di New Delhi. – Gambar AFP, 2 September, 2021.

PIHAK berkuasa India bertindak mengetatkan keselamatan di Kashmir semalam susulan kematian ikon pemisah, Syed Ali Geelani pada usia 92 tahun.

Pasukan tentera memasang kawat berduri dan penghadang di jalan menuju ke rumah Geelani di bandar Srinagar, selepas keluarganya mengumumkan kematiannya.

Pengumuman dibuat menggunakan pembesar suara di masjid utama berhampiran kediaman Geelani, meminta orang ramai menziarahi rumahnya.

Namun, polis menegaskan tiada seorang pun di lembah Kashmir dibenarkan meninggalkan rumah masing-masing.

Ribuan anggota keselamatan segera dikerahkan ke lokasi, manakala perkhidmatan Internet mudah alih di seluruh kawasan terbabit dipotong.

Kenderaan dan trak berperisai turut meronda sekitar jalan utama di Srinagar.

Ketika hayatnya, Geelani giat berkempen menentang pemerintahan India di wilayah Himalaya yang didiami penduduk majoriti Muslim itu yang terbahagi antara India dengan Pakistan sejak 1947.

Beliau dipenjarakan selama bertahun-tahun, selain dikenakan tahanan rumah bagi sebahagian besar masa sepanjang tempoh 11 tahun lalu.

Kesihatan beliau merosot sejak beberapa bulan lalu dengan masalah jantung dan buah pinggang.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan antara yang terawal memberi penghormatan kepada Geelani, dan berkata sangat dukacita atas kematian pejuang kebebasan Kashmir itu.

“Geelani berjuang sepanjang hidupnya untuk rakyat serta hak mereka menentukan keputusan sendiri. Beliau dipenjarakan dan berdepan tekanan oleh India, namun beliau tetap tegas dengan pendirian,” katanya di Twitter. – AFP, 2 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen