Pihak berkuasa AS saman syarikat tipu pelaburan kripto AS$2 bilion


SEC semalam memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pinjaman mata wang kripto dalam talian atas dakwaan penipuan pelaburan bernilai AS$2 bilion. – Gambar AFP, 2 September, 2021.

PENGAWAL selia pasaran Amerika Syarikat (AS) semalam memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pinjaman mata wang kripto dalam talian atas dakwaan penipuan pelaburan bernilai AS$2 bilion.

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) mendakwa BitConnect dan pengasasnya Satish Kumbhani; serta seorang promoter, Glenn Arcaro, menawarkan pelaburan palsu.

SEC dalam kenyataannya berkata defendan menjanjikan keuntungan sangat tinggi kepada para pelabur menerusi skim “Lending Program”.

SEC dalam samannya mendakwa wang pelabur diseleweng dan dipindahkan ke e-dompet yang dikawal sepenuhnya oleh defendan.

Pengawal selia itu juga mendakwa BitConnect dan Kumbhani yang merupakan warga India, mewujudkan rangkaian promoter yang dibayar komisen untuk menarik pelabur. 

Arcaro, promoter utama pelaburan palsu itu di AS, dituduh menubuhkan firma Future Money untuk menarik pelabur.

“Kami mendakwa defendan dengan sengaja mencuri berbilion dolar dari para pelabur di seluruh dunia melalui penyelewengan ini,” kata pengarah serantau SEC di New York, Lara Shalov Mehraban, dalam kenyataan.

Kesemua defendan didakwa melanggar undang-undang antipenipuan, katanya. 

Mei lalu, SEC memfailkan saman berkaitan ke atas lima promoter BitConnect. – AFP, 2 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen