PKS kehabisan aliran tunai, sukar bertahan, kata persatuan


Khoo Gek San

Persatuan Perusahaan PKS Malaysia berkata keadaan bertambah sukar apabila pembekal enggan memberi kemudahan kredit kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2021.

MASALAH aliran tunai menyukarkan usahawan kecil untuk terus beroperasi ekoran perniagaan mereka terjejas akibat sekatan pergerakan, kata pesatuan.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia berkata kekangan ini menyebabkan ramai pengusaha tidak dapat meneruskan operasi kerana tidak mempunyai cukup modal untuk membeli barangan, lebih-lebih lagi apabila pembekal enggan memberi kemudahan kredit kepada mereka.

“Sejak Mei, pembekal semakin sukar untuk beri kemudahan kredit kepada pelanggan. Ini menyukarkan syarikat mikro beroperasi.

“Bagaimanapun, bagi syarikat yang tidak terjejas akibat sekatan pergerakan mereka tiada masalah untul membayar hutang tertunggak,” Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang memberitahu The Malaysian Insight.

Katanya, ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak syarikat PKS kehabisan simpanan untuk membayar hutang kepada pembekal.

“Misalnya perusahaan mikro dalam perkhidmatan, peruncitan, pembuatan dan pertanian, yang mempunyai tak sampai 75 pekerja.

“Mereka tidak mampu bayar balik pinjaman bank kerana syarikat tidak dapat beroperasi. Lebih-lebih lagi apabila pembekal tidak mahu beri kemudahan kredit,” jelasnya.

Menurut Kang, setakat ini 40% PKS tiada pilihan selain mengecilkan saiz perniagaan sekaligus menyebabkan sehingga 20% pekerja terpaksa diberhentikan.

Kira-kira 1.1 juta PKS di negara ini adalah tulang belakang ekonomi dan mewakili kira-kira 97% semua perniagaan di Malaysia, menyumbang kira-kira 38% keluaran dalam negara kasar negara tahun lalu.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada November tahun lalu berkata lebih 30,000 syarikat menutup operasi mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula pada Mac 2020. Jumlah itu meningkat tahun ini.

Persatuan PKS bagaimanapun sebelum itu telah memberi amaran sebanyak 30% perusahaan kecil akan kehabisan tunai sekiranya PKP terus dilaksanakan, malah ada yang terpaksa menutup perniagaan.

Pembekal juga perlukan tunai

Sementara itu, Presiden Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) Tan Thian Poh berkata masih banyak pembekal yang memberi tempoh pembayaran antara 30 hingga 60 hari kepada PKS.

“Tetapi pengusaha masih gagal lunaskan hutang, sehingga ada yang dua bulan tertunggak, jadi bagaimana pembekal hendak bekalkan barang mentah?

“Kalau mereka boleh bayar hutang bulan pertama, maka pembekal tiada masalah untuk hantar bekalan untuk sebulan.

“Pembekal juga perlukan tunai untuk beli bahan mentah,” kata Tan.

Menurut Tan, berdasarkan pemahamannya kemudahan kredit banyak diberi kepada pengusaha industri pertanian, runcit dan pembuatan.

Bagi perkhidmatan katering pula, pembelian bahan mentah biasanya secara tunai.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng pula memberitahu The Malaysian Insight, peruncit masih membayar secara bulanan kepada pembekal kerana kebanyakan mereka tidak terjejas akibat sekatan pergerakan.

Ini kerana barangan runcit adalah barang keperluan yang dibeli setiap hari oleh pengguna dan pembayaran kepada pembekal dibuat sebulan sekali, katanya. – 2 September, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen