Israel longgarkan sekatan terhadap Gaza 


Zon menangkap ikan di Jalur Gaza diperluaskan kepada 15 batu nautika.– Gambar EPA, 1 September, 2021

ISRAEL pada Rabu berkata pihaknya akan memperluaskan lagi zon menangkap ikan Gaza, bekalan air dan membenarkan lebih ramai peniaga dan barangan masuk ke Israel, walaupun keganasan masih berlaku di sempadan. 

“Telah diputuskan untuk meluaskan zon menangkap ikan di Jalur Gaza kepada 15 batu nautika, dan membuka sempadan Kerem Shalom, kepada penumpang dan barangan,” menurut kenyataan badan tentera Israel yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal awam di wilayah Palestin, Cogat.

“Selain itu, bekalan air ke Jalur Gaza akan ditingkatkan sebanyak 5 juta meter padu.”

Menurutnya peniaga Gaza yang mempunyai permit untuk merentas sempadan Erez akan ditingkatkan daripada 2,000 kepada 7,000. 

Pada Mei, Israel dan Hamas yang mentadbir Gaza, mencapai gencatan senjata susulan pertempuran terburuk yang berlangsung 11 hari.

Namun serangan belon api terus dilancarkan dari wilayah Palestin ke arah Israel yang mana Israel menyalahkan Hamas dan membalas dengan serangan udara.

Bagaimanapun Israel mula meluaskan zon menangkap ikan di perairan Gaza pada Julai, dan Cogat membenarkan peniaga dan barangan dari Gaza masuk ke wilayah mereka buat pertama kalinya bermula 15 Ogos ini.

Pada 21 Ogos lalu, pertempuran tercetus di sempadan Gaza yang menyebabkan 40 orang cedera, menurut Hamas.

Mangsa termasuk kanak-kanak Palestin berusia 12 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun 

Seorang penembak tepat Israel turut terbunuh dalam insiden itu. – AFP, 1 September, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen