Pasaran buruh perlukan perubahan segera


SEJAK kebelakangan ini, saya dan rakan-rakan kerap berbincang tentang kelemahan pasaran buruh di negara kita.

Pandemik Covid-19 “mengantoikan” kerapuhan pasaran buruh yang sehingga hari ini masih belum ditangani dengan serius oleh kerajaan – walaupun kerajaan bertukar sebanyak tiga kali dalam masa kurang dua tahun.

Saya masih ingat beberapa bulan lepas, menteri sumber manusia cukup berbangga apabila beberapa ratus orang dipanggil untuk ditemuduga ketika menghadiri karnival kerjaya.

Situasi tersebut menunjukkan betapa dangkalnya pemahaman kerajaan terhadap masalah pasaran buruh yang sedang berlaku.

Masih ramai yang sedang menganggur kesan daripada Covid-19, dan ada pelbagai program dikatakan diambil kerajaan, tapi hakikatnya impaknya tidak terlalu dirasai. Ekonomi gig tidak boleh menjadi jawapan utama kepada pembinaan dasar pekerjaan ketika ini.

Sesekali saya membaca atau menonton bahan yang dipromosikan kerajaan dalam usaha mengatasi masalah pengangguran.

Ramai dalam kalangan ahli politik yang kerap menggunakan istilah “reskilling” supaya dapat meningkatkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan pencari kerja.

Pada tahun lepas, saya juga pernah menulis tentang kepentingan reskilling untuk membantu penganggur mencari kerja baharu.

Saya memberikan contoh mereka yang bekerja sebagai anak kapal penerbangan mampu ditempatkan di pekerjaan yang memiliki kemahiran orator seperti pusat panggilan pelanggan. Malangnya, tidak semua pekerjaan mempunyai padanan sesuai.

Melalui perbincangan saya dengan seorang rakan, kami melihat terdapat masalah besar dalam konsep reskilling, terutamanya bagi mereka yang diberhentikan pada pertengahan kerjaya. Selalunya mereka berusia sekitar lewat 30-an atau awal 40-an.

Apabila mereka berhenti dan mencuba kerjaya dalam bidang baharu, mereka terpaksa bersaing dengan kumpulan yang baharu bergraduasi.

Kebanyakan majikan akan melihat mereka yang sudah berada di pertengahan kerjaya sebagai individu yang perlu dibayar lebih mahal, sukar dikawal tetapi memiliki pengalaman sifar dalam industri yang baru sahaja diceburi.

Disebabkan hal ini, kebanyakan majikan lebih cenderung untuk memilih pekerja yang baru bergraduasi.

Salah satu idea yang perlu dibahaskan untuk pekerja lebih tua untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka adalah idea “upskilling”.

Saya cukup kesal kerana kebanyakan dasar yang sering dibincangkan berkaitan pasaran buruh hanyalah melibatkan belia, tetapi kurang berkaitan pekerja berusia atau hal persaraan.

Barangkali isu pekerjaan dan anak muda lebih populis.

Berbalik kepada idea upskilling, menurut kajian MakeTimePay; pekerja yang berada pada pertengahan kerjaya mereka lebih baik diberikan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk menjadikan mereka lebih laku dalam pasaran buruh.

Mereka memberi contoh seorang setiausaha pejabat yang bekerja selama 20 tahun akan lebih laris jika dia menambahkan kemahiran Misrosoft Excel.

Bagi saya ia sesuatu yang masuk akal, berbanding jika setiausaha ada pengalaman 20 tahun ini mencuba kerjaya baharu seperti pegawai pemasaran; sudah tentu akan lebih sukar untuk mendapat pekerjaan.

Kerajaan harus memikirkan dasar seimbang antara menukar kemahiran dan meningkatkan kemahiran. Bagi industri yang berkongsi kemahiran (misalnya kemahiran komunikasi dan orator), menukar kerjaya adalah sesuatu yang boleh difikirkan, tapi ia berbeza pula jika industri itu tidak mempunyai perkaitan.

Kerajaan sering mengatakan mereka kekurangan wang ketika proses pembinaan dasar yang benar-benar memiliki impak secara langsung kepada rakyat. Ia dikatakan berlaku kerana kekurangan pendapatan akibat pandemik dan pemansuhan GST.

Jarang sekali dibahaskan wang negara kurang kerana kita memiliki saiz Kabinet yang besar dan orang yang mendapat jawatan dalam “scheme of things”.

Apa-apa pun, hal yang saya sebutkan di atas cuma sebahagian kecil daripada pelbagai isu dalam pasaran buruh yang perlu diselesaikan. Ia termasuklah masalah mismatch dan keselamatan sosial buruh yang kerap kali saya ungkapkan.

Koordinasi antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu berlaku untuk merangka satu strategi jangka masa panjang mengatasi masalah mismatch. – 1 September, 2021.

* Rahman Imuda ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen