Masukkan pesakit Covid-19 kategori 3 ke hospital sementara, cadang Dr Mahathir


Pesakit kategori 3 Covid-19 tidak boleh dibiarkan menjalani kuarantin di rumah, kata Dr Mahathir Moahamd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2021.

DR Mahathir Mohamad mencadangkan agar pesakit Covid-19 kategori 3 dimasukkan ke hospital sementara dan tidak lagi dikuarantin di rumah sebagai usaha mengurangkan jumlah kematian yang bertambah setiap hari.

Amalan sekarang iaitu hanya pesakit kategori 4 dan 5 dimasukkan ke hospital memberi risiko kepada pesakit kategori 3 yang dikuarantin di rumah, kata bekas perdana menteri.

“Saya percaya kumpulan ketiga ini boleh diselamatkan,” katanya, dalam satu tulisan terbaru di blognya.

Dr Mahathir berkata jumlah pesakit kategori 3 iaitu mereka yang mengalami radang paru-paru tidak ramai dan boleh ditempatkan di hospital sementara yang dibuka khas untuk mereka.

Beliau mencadangkan hospital lapangan tentera atau di dewan hotel dan bangunan lain, yang hanya dibekal oksigen dan mempunyai beberapa doktor dan jururawat.

“Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa,” tambahnya.

Menurut Dr Mahathir, pesakit kategori 3 tidak boleh dibiarkan di rumah.

“Di rumah tidak ada perawat atau oksigen. Kategori 3 yang sudahpun menunjuk paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk tidak dapat apa-apa rawatan di rumah.

“Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh dekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah, dan akhirnya pesakit meninggal dunia,” katanya.

Dr Mahathir juga mencadangkan agar doktor dan jururawat melawat pesakit kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak bergejala dan bergejala ringan, yang dikuarantin di rumah.

Ini bagi membolehkan mereka mendapat rawatan awal jika perlu, katanya.

“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan. 

“Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan, dan juga jumlah kematian,” katanya.

Dalam tempoh tujuh hari minggu terakhir Ogos 2021, Kementerian Kesihatan merekodkan purata 302 kes kematian akibat Covid-19 sehari.

Kes kematian harian tertinggi dicatatkan pada 26 Ogos iaitu 393 kes, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 360 kematian pada 8 Ogos.

Sehingga semalam, 16,664 meninggal akibat Covid-19 di negara ini, iaitu 1% daripada keseluruhan kes jangkitan yang mencecah lebih 1.74 juta orang. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen