Rayuan Ziyad ditolak, kata timbalan menteri


Rayuan Malaysia berhubung pembatalan penyertaan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditolak. – Gambar AFP, 1 September, 2021.

JURI Rayuan Para Olahraga Dunia hari ini menolak rayuan Malaysia berhubung pembatalan penyertaan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker.

Malaysia bagaimanapun katanya akan meneruskan bantahan kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) untuk mengiktiraf penyertaan Ziyad dan catatan rekod yang dibuatnya semalam.

“Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. 

“Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan,” katanya dalam satu penjelasan mengenai episod di Stadium Olimpik Tokyo, semalam.

Penyertaan Ziyad dan dua atlet dari Ecuador dan Australia dibatalkan dan ditanda sebagai “tidak bermula” selepas lewat melapor diri ke tempat menunggu sebelum acara berlangsung.

Ziyad semalam memecahkan rekod dunia acara dengan lontaran sejauh 17.94 meter, sekali gus memecahkan rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan atlet biasa.

Dengan pembatalan penyertaannya, dua atlet Ukraine Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi masing-masing menang pingat emas dan perak sementara pingat gangsa jatuh ke tangan atlet Greece Efstratios Nikolaidis.

Menurut Ti, kontinjen Malaysia bersama wakil Ecuador dan Australia telah menjelaskan keadaan kepada jawatankuasa pertandingan iaitu kesalahan tidak disengajakan dan atlet berkenaan sudah pun dibenarkan bertanding.

“Tetapi keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlet tersebut,” katanya.

Jelasnya, Ziyad dan dua atlet Ecuador dan Australia didakwa terlewat kerana mereka terhalang masuk ke tempat menunggu akibat hujan serta keadaan sesak dengan atlet acara-acara lain.

Kelewatan mereka dibantah oleh pegawai Ukraine pada masa itu, dan selepas rayuan, ketiga-tiga mereka dibenarkan bertanding bersyarat, mengikut peraturan pertandingan.

Peraturan pertandingan menetapkan sekiranya terbukti ada kesalahan seperti dibantah, keputusan atlet berkenaan akan dicatat sebagai tidak bermula atau DNS (did not start).

Ti juga berkata semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia maklum mengenai bantahan berkenaan.

Awal hari ini, Ziyad menulis di Facebook meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan berterima kasih atas sokongan terhadapnya. Mesej itu ditulis 6.25 pagi tadi. – 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen