WHO pantau varian baharu koronavirus 'Mu'


WHO pada masa ini mengenal pasti empat varian Covid-19 yang menjadi perhatian iaitu Alpha yang terdapat di 193 negara dan Delta dikesan di 170 negara. – Gambar EPA, 1 September, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau varian koronavirus terbaru dikenali sebagai Mu yang pertama kali dikesan di Colombia pada Januari.

Mu, yang secara saintifik dinamakan B.1.621, diklasifikasikan sebagai varian diwaspadai (VOI), kata WHO dalam buletin pandemik mingguannya, semalam.

WHO berkata varian itu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk lebih memahaminya.

“Varian Mu mempunyai kumpulan mutasi yang menunjukkan ia berpotensi dapat terlepas daripada imunisasi,” kata buletin itu.

Kemunculan mutasi virus baharu itu sangat dibimbangkan terutama ketika kadar jangkitan meningkat lagi di seluruh dunia, dengan varian Delta yang sangat mudah disebar – terutama dalam kalangan yang tidak divaksinasi – serta di wilayah di mana langkah antivirus dilonggarkan.

Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari semasa ke semasa dan kebanyakan mutasi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap sifat virus.

Namun, mutasi tertentu dapat mempengaruhi sifat virus dan mempengaruhi penularannya, keparahan penyakit yang ditimbulkannya, dan penentangannya terhadap vaksin, ubatan dan penghalang lain.

WHO pada masa ini mengenal pasti empat varian Covid-19 yang menjadi perhatian iaitu Alpha yang terdapat di 193 negara dan Delta dikesan di 170 negara.

Lima varian termasuk Mu sedang dipantau.

Selepas dikesan di Colombia, Mu dilaporkan dikesan di negara Amerika Selatan dan Eropah.

WHO berkata kelaziman globalnya menurun hingga bawah 0.1% bagi kes yang diuruskan.

Bagaimanapun, di Colombia virus itu berada pada tahap 39%. – AFP, 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen