32 maut bas terjunam di Peru


Seramai 32 penumpang maut termasuk dua kanak-kanak dan lebih 20 lagi cedera apabila sebuah bas jatuh dari tebing di Peru awal pagi semalam. – Gambar AFP, 1 September, 2021.

SERAMAI 32 penumpang maut termasuk dua kanak-kanak dan lebih 20 lagi cedera apabila sebuah bas jatuh dari tebing di Peru awal pagi semalam, kata pihak berkuasa.

Ia tragedi membabitkan sistem pengangkutan kali ketiga di negara itu dalam tempoh empat hari.

Nahas itu berlaku di jalan sempit Carretera Central, kira-kira 60km di timur ibu negara, Lima.

Komander polis Cesar Cervantes memberitahu TV Peru dua kanak-kanak antara yang terkorban maut dan ada kanak-kanak yang cedera.

Terdapat 63 penumpang di dalam bas, dan pegawai tempatan, Freddy Laorte berkata 29 daripadanya meninggal dunia.

Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan, kata jabatan polis di Twitter.

Cervantes berkata kelalaian menyumbang kepada kemalangan semalam, sambil menambah bas itu dipandu dengan laju.

Bas itu merempuh batu dan jatuh ke jurang sedalam 200 meter, menurut mangsa.

Ahad lalu, 14 maut ketika dua bot bertembung di sungai Amazon di Peru dan setakat ini masih ada mangsa yang belum ditemui.

Dua hari sebelumnya, sebuah bas jatuh ke dalam jurang di tenggara Peru menyebabkan 17 terbunuh.

Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di negara itu berikutan pelbagai faktor termasuk kenderaan dipandu laju, lebuh raya tidak diselenggara dengan baik, kekurangan papan tanda jalan dan penguatkuasaan keselamatan lalu lintas yang buruk. – AFP, 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen