Pilihan raya Libya mungkin ditunda, kata menteri


Menteri Luar Libya Najla al-Mangoush Kemungkinan itu tidak dapat dapat dielakkan selagi Parlimen tidak meluluskan undang-undang pilihan raya. – Gambar AFP, 1 September, 2021.

MENTERI Luar Libya Najla al-Mangoush tidak menolak kemungkinan pilihan raya yang dijadual diadakan pada Disember mungkin terpaksa ditunda.

Kemungkinan itu tidak dapat dapat dielakkan selagi Parlimen tidak meluluskan undang-undang pilihan raya, katanya semalam.

Perkembangan itu menyusul sehari selepas utusan PBB ke Libya menggesa Libya perlu bersiap sedia untuk segera mengadakan pilihan raya.

“Sebagai kerajaan, kami membuat segala persiapan yang perlu untuk pilihan raya termasuk kewangan, logistik dan sokongan kepada suruhanjaya pilihan raya.

“Saya tidak boleh beri kepastian sama ada pilihan raya akan ditunda atau tidak, tetapi kami sedang cuba untuk memastikan ia berlangsung mengikut jadual iaitu 24 Disember.

“Kami masih menunggu sama ada Parlimen akan meluluskan undang-undang pilihan raya… jika tidak kita terpaksa tunda,” kata Najla pada sidang media di Algiers semalam.

Beliau juga berkata “rundingan” dengan negara jiran yang mesra Libya juga mungkin akan diadakan pada hujung September dan awal Oktober, dengan fokus kepada keselamatan semasa proses pilihan raya.

Isnin lalu, utusan PBB ke Libya Jan Kubis menggesa Libya segera meluluskan undang-undang pilihan raya supaya pemilihan dapat dijalankan mengikut jadual.

Libya yang bergolak sejak pemimpinnya Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh oleh rakyatnya sendiri dalam tunjuk perasaan menentang pemerintahannya pada 2011.

Negara kaya minyak itu kini ditadbir oleh dua buah kerajaan, dengan kerajaan permuafakatan kebangsaan (GNA) yang disokong oleh PBB sejak tahun 2015 dan beribu pejabat di Tripoli, dan Tentera Kebangsaan Libya (LNA).

Kerajaan GNA mendapat sokongan kententeraan Turki, Itali dan Qatar serta kumpulan-kumpulan militan.

LNA pula yang diketuai oleh komander Khalifa Haftar adalah kerajaan yang menguasai bahagian timur negara Libya dan mendapat sokongan Mesir, Perancis, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia.

Dua pihak saling berperang itu menandatangani perjanjian gencatan senjata di Geneva pada Oktober lalu, selepas pergolakan dan pertumpahan darah yang berlarutan selama bertahun-tahun di Libya. – AFP, 1 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen